Sejarah
- Details
- Category: Profil
- Published on Monday, 21 May 2012 12:17
- Hits: 2040
Latar Belakang Markas Pendidikan dan Latihan TLDM

Kewujudan Pusat Latihan TLDM bermula pada 20 Januari 1971 dengan penubuhan Cadet and Recruit Training Establishment (CARTE) bertempat di Kem Khatib, Bah Soon Pah Road, Sembawang, Singapura. Sebagai mengiktiraf sumbangannya dalam melatih anak bangsa untuk mempertahankan tanah air, CARTE seterusnya telah ditauliahkan pada 12 Ogos 1971 dan diberi nama baru iaitu Kapal Diraja PELANDOK atau KD PELANDOK. Sejajar perkembangan dan keperluan semasa, pada 1 Januari 1979 KD PELANDOK telah dipindahkan ke Pangkalan TLDM Lumut. KD PELANDOK merupakan unit TLDM pertama dipindahkan ke Pangkalan TLDM Lumut.
Sesuai dengan penyusunan semula organisasi TLDM pada 1 Mac 1996, KD PELANDOK telah ditukar nama kepada Markas Pendidikan dan Latihan TLDM atau MPL TLDM. Sejak itu, MPL TLDM telah melaksanakan 2 fungsi secara serentak iaitu sebagai Organisasi Pembuat Keputusan dan juga Organisasi Pelaksana Latihan. Kewujudan MPL TLDM dengan melaksanakan 2 fungsi secara serentak telah mengakibatkan pertindihan fungsi dan menimbulkan kekeliruan, justeru pada 1 Julai 2005, MPL TLDM telah dipindahkan ke Kuala Lumpur bagi membentuk identiti dan melaksanakan fungsinya terasnya sebagai Organisasi Pembuat Keputusan berkenaan pelaksanaan latihan dalam TLDM.
MPL TLDM telah beroperasi sepenuhnya dengan 3 Bahagian iaitu Bahagian Pembangunan dan Kawalan Mutu Latihan, Bahagian Tadbir dan Bahagian Logistik pada 1 September 2006 (MPL/N5/5002 (40) bertarikh 8 Ogos 06). Sebahagian daripada Bahagian Pembangunan dan Kawalan Mutu Latihan serta Bahagian Perhubungan Awam dikekalkan di Bangunan D4, KD PELANDOK berikutan kekurangan ruang pejabat dan fasiliti serta faktor tugasan mereka yang memerlukan mereka berhampiran unit di bawah naungan.
Kewujudan MPL TLDM sebagai unit tersendiri telah disahkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam pada 16 Ogos 2008 setelah memperoleh kuasa perjawatannya sendiri. MPL TLDM kini bertapak di bangunan bekas KD SRI KLANG, Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

