KD SULTAN IDRIS I
- Details
- Category: Unit Naungan
- Published on Tuesday, 05 June 2012 09:18
- Hits: 2548

1. Latihan Pegawai TLDM telah bermula seawal tahun 50an melalui pemilihan pertama Pegawai Kadet Laut. Pada masa itu, anak-anak watan yang terpilih untuk berkhidmat dengan TLDM akan dihantar ke Britannia Royal Naval College (BRNC) kerana TLDM tidak mempunyai pusat yang khusus untuk melatih bakal pegawai. Program latihan ini bermula pada tahun 1958 di mana Pegawai Kadet Laut Pengambilan Pertama menjalani latihan tempatan di Maktab Tentera Diraja bersama dengan Pegawai Kadet Darat. Pada tahun 1970, pusat latihan yang dikhaskan untuk melatih hanya Pegawai Kadet Laut telah diwujudkan di Kem Khatib, Pangkalan TLDM Woodlands, Singapura. Dengan pengambilanpertama tersebut, maka latihan pegawai kadet bermula dengan rasminya pada 1 Mei 71.
2. Dengan terbinanya Pangkalan TLDM Lumut, di awal tahun 80an, Pusat Latihan Pegawai yang berpangkalan di Woodlands, Singapura ini telah dipindahkan ke Lumut. Ianya dikenali dengan nama Sekolah Latihan Pegawai (SLP) dan ditempatkan di Bangunan Utama KD PELANDOK. Semua urusan pentadbiran SLP di letakkan di bawah KD PELANDOK kerana pada masa itu KD PELANDOK merupakan Pusat Latihan TLDM merangkumi Pusat Latihan Rekrut, Pusat Latihan Pegawai dan Pusat Latihan Lanjutan. Pada tahun 1985 nama Sekolah Latihan Pegawai telah ditukar kepada Cawangan Latihan Pegawai (CLP). Pada tahun 1986 hingga 2003, CLP telah berpindah ke Bangunan D3, dan CLP telah bertukar kepada Fakulti Pegawai dan berada di bawah naungan KD PELANDOK.
3. Sebagai sebuah pusat latihan yang telah banyak melahirkan pegawai TLDM yang berkaliber dan berketerampilan, infrastruktur di fakulti ini telah dinaik taraf pada 1 Jan 04 dengan pembinaan sebuah bangunan baru yang melibatkan perbelanjaan sebanyak RM13.3 Juta. Seterusnya Fakulti Pegawai sekali lagi ditukar nama kepada Kolej Tentera Laut Diraja Malaysia (KTLD) dan menggunakan cogan kata ‘Berilmu Memimpin Berkorban’. Tanggal 15 Mei 06 merupakan detik bersejarah bagi Kolej ini di mana KTLD telah ditauliahkan oleh Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah ibni Almarhum Sultan Yussuf lzzuddin Shah Ghafarullahu-lah (Sultan Perak) dan dikenali sebagai KD SULTAN IDRIS I. Kdr Mohamad Onn bin Khalil TLDM telah dilantik sebagai Pegawai Memerintah yang pertama dan KDSI I diletakkan di bawah naungan Markas Pendidikan dan Latihan TLDM.
4. Nama KDSI I diambil bersempena dengan nama Sultan Perak yang Ke-28 iaitu Almarhum ‘Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Idris Murshidul’ Adzam Shah Rahmatullah (menaiki takhta negeri dari 1887 hingga 1916). Pemilihan nama Baginda amat bersesuaian sekali dalam mengenangkan jasa dan peranan Baginda ke arah pembangunan, kesejahteraan dan kemakmuran negara serta keamanan sejagat yang dikecapi sekarang. Peranan yang dimainkan oleh Baginda adalah diharapkan akan menjadi sumber inspirasi kepada pegawai muda yang bakal dilahirkan oleh KDSI I untuk menjadi pemimpin yang terbilang di masa hadapan.
5. KDSI I merupakan sebuah pusat latihan bagi pegawai dan bakal pegawai TLDM. Kolej ini memainkan peranan yang amat penting di dalam membentuk dan melahirkan generasi pemimpin-pemimpin masa hadapan TLDM di mana pembentukan sahsiah diri untuk menjadi seorang pegawai TLDM bertitik tolak dari Kolej ini. Semenjak diasaskan pada tahun 1958 sehingga kini, pelbagai perubahan dan pembaharuan telah dikecapi oleh kolej ini. Namun begitu fungsi dan peranannya untuk melatih serta membentuk pegawai TLDM yang berilmu dan berjiwa kental tidak pernah berubah sejajar dengan cogankata ‘Berilmu Memimpin Berkorban’. Sehingga kini, KDSI I telah menghasilkan ramai pegawai TLDM yang berkaliber dan telah mencapai kejayaan samada di peringkat negara mahupun antarabangsa. Seiring dengan peredaran masa dan perkembangan teknologi, KDSI I turut melaksanakan penambahbaikan terhadap sistem latihan pegawai dari masa ke semasa. Ini bagi memastikan pegawai-pegawai yang dilatih dapat mengharungi cabaran dan rintangan yang semakin mencabar.
6. Dalam melaksanakan tugas tersebut, KDSI I menentukan pendidikan dan latihan dilaksanakan berpandukan kepada Sistem Latihan TLDM yang diluluskan oleh Lembaga Gabenor Pendidikan dan Latihan TLDM. Di samping melaksanakan tugas utama melatih pegawai dan bakal pegawai TLDM, KDSI I juga bertanggungjawab melatih pelatih-pelatih dari pasukan simpanan dan agensi kerajaan yang lain. Bagi meningkatkan tahap profesionalisme dan kelayakan akademik para pelatih, KDSI I telah menjalinkan kerjasama yang begitu erat bersama pelbagai institusi pengajian tinggi samada awam atau swasta. Setiap tahun, Pegawai Kadet yang mendapat keputusan cemerlang di dalam bidang akademik dan ketenteraan turut dihantar menjalani latihan di institusi latihan ketenteraan di luar negara seperti di Britannia Royal Naval College, Australian Defence Force Academy, United States Naval Academy dan sebagainya.

