TANJUNG PENGELIH, 13 Nov - Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Rahman bin Ayob telah menyempurnakan Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda TLDM Siri 225/23. Perbarisan kali ini melibatkan seramai 545 orang Perajurit Muda yang telah berjaya menamatkan latihan di KAPAL DIRAJA SULTAN ISMAIL (KDSI), Tanjung Pengelih, Johor.

Perbarisan yang terdiri daripada 9 divisyen dengan kekuatan seramai 545 ini telah mengangkat sumpah pada 30 Mei 2023 dan seterusnya menjalani Kursus Asas Tentera Laut selama 6 bulan di Pusat Latihan Perajurit Muda TLDM, KDSI.

Pelbagai latihan telah diterapkan dan berjaya mentransformasikan sifat serta minda daripada seorang individu awam kepada seorang anggota tentera yang berkaliber. Perajurit Muda telah layak untuk berkhidmat sebagai seorang anggota TLDM dan menggalas tugas serta amanah kepada bangsa dan negara. Panglima Tentera Laut juga berharap agar semangat berpasukan atau Esprit de Corps sesama rakan seperjuangan diteruskan demi kecemerlangan dan kesejahteraan di masa hadapan.

Berdasarkan empat nilai teras TLDM iaitu Kemuliaan, Kesetiaan, Keberanian dan Kebanggaan akan menjadikan the Navy People yang terampil dan berdisiplin bagi mencapai visi TLDM menjadi sebuah ‘Angkatan Laut yang Kredibel’.

Penyampaian hadiah bagi 7 anugerah telah disampaikan oleh Panglima Tentera Laut semasa perbarisan ini. Divisyen Bentara telah dinobatkan sebagai Divisyen Terbaik Keseluruhan di bawah bimbingan Divisyen Komander Pemangku Bintara Kanan PAP (PKL) Stanley Usek dan dibantu oleh Bintara Muda PBS Mohd Bakri bin Bahareen. Pemenang bagi Laskar Muda Terbaik Keseluruhan Lelaki disandang oleh Laskar Muda Nik Muhamad Saifuddin bin Badrul Hisam manakala Laskar Muda Terbaik Keseluruhan Wanita disandang oleh Laskar Muda Fatin Najwa binti Mohd Hanif.

Panglima Tentera Laut turut menzahirkan penghargaan kepada Markas Pemerintahan Pendidikan dan Latihan TLDM, staf dan jurulatih KDSI di atas segala usaha bagi melahirkan bakal pewaris kesinambungan kecemerlangan TLDM.

Sumber : Cawangan Komunikasi Strategik, Markas Pemerintahan Pendidikan dan Latihan TLDM