KUANTAN, 10 Dis - Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Rahman bin Ayob hadir ke majlis perasmian tugu peringatan dua buah kapal perang HMS Prince of Wales dan HMS Repulse di Teluk Cempedak hari ini.

Majlis perasmian tersebut telah disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah.

Tugu peringatan yang dibina dengan sokongan Suruhanjaya Tinggi British di Malaysia dan Royal Navy berkenaan sebagai tanda memperingati ulang tahun ke-82 kapal perang yang ditenggelamkan pada pada 10 Disember 1941.

Sauh yang ditempatkan di tugu peringatan yang menghadap ke Laut China Selatan itu dipercayai daripada HMS Repulse, yang dihadiahkan kepada Malaysia oleh United Kingdom ditemui dalam rampasan semasa aktiviti penyeludupan haram oleh pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) pada 2015.

Sauh berkenaan sebelum ini telah dipamerkan di Muzium Tentera di Port Dickson dan kemudiannya dipindahkan ke Teluk Cempedak sebagai tanda peringatan kesan daripada peperangan yang pernah berlaku serta jalinan hubungan di antara United Kingdom dan Malaysia.

Turut hadir di majlis berkenaan adalah Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato' Seri Panglima Mohammad bin Ab Rahman; Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM dan Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Dato’ Tengku Muhammad Fauzi bin Tengku Ibrahim.