PORT DICKSON, 30 Jul – Di samping melaksanakan penugasan pengukuran hidrografi di Perairan Tanjung Tuan, Port Dickson, KD PERANTAU telah mengambil peluang dan ruang untuk melunaskan tanggungjawab kepada masyarakat dan alam sekitar dengan menganjurkan gotong royong pembersihan pesisir pantai sebagai salah satu aktiviti Program Jiwa Murni. Pelaksanaan program ini tertumpu kepada pembersihan kawasan pantai yang dipenuhi dengan sampah hanyut (marine debris) yang di bawa oleh arus pasang surut laut.

Sejak Pandemik COVID-19 yang sedang melanda negara mulai awal tahun 2020 dan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga kini mengakibatkan sektor pelancongan negara terjejas dan tidak dibenarkan beroperasi telah memberi kesan kepada pengurusan pusat peranginan sekitar untuk mengekalkan kebersihan pantai kerana kekangan pekerja. Justeru, seramai 17 warga kapal telah berganding bahu membanting tulang mengutip sisa seperti botol minuman, pakaian, pinggan plastik dan bahan-bahan bukan organik di pesisir pantai sepanjang 650 meter bermula dari jam 9 pagi sehingga jam 11 pagi. Program yang dilaksanakan berjalan dengan lancar kerana ketiadaan orang awam akibat PKP memberi ruang kepada warga kapal melaksanakan aktiviti tersebut dengan mematuhi Standard Operating Procedure (SOP) norma baharu.

Penganjuran aktiviti seperti ini penting bagi memupuk kesedaran dalam kepentingan penjagaan alam sekitar dan kesan pembuangan sampah di pantai terhadap habitat akuatik di samping mewujudkan persekitaran pantai yang bersih, ceria dan selamat untuk dikunjungi.

Sumber : KD PERANTAU
Artikel   : Lt Kdr Wan Shahrul Ai’man bin Wan Mohd Hussin TLDM
Foto      : LK PNK Mohamad Syukri bin Azazan