KD PELANDOK FLAG

Sejak tahun 1984, Angkatan Tentera Malaysia telah mencadangkan agar KD PELANDOK, Pusat Latihan Tentera Laut Diraja Malaysia dipilih untuk dianugerahkan Panji-Panji Pasukan. KD PELANDOK yang dahulunya dikenali sebagai pusat yang melahirkan anggota Tentera Malaya Navy kini mula dikenali sebagai salah sebuah pusat latihan yang ulung dan telah banyak berkorban dalam mencurahkan bakti, sumbangan yang tiada tolak bandingannya. Pusat latihan ini telah melahirkan pelatih-pelatih yang berwibawa dan berkemahiran sebagaimana yang dikehendaki oleh Angkatan Tentera Malaysia. Justeru itu, atas kecemerlangan perkhidmatannya kepada negara, KD PELANDOK telah diberi penghormatan tertinggi dalam angkatan tentera untuk dianugerahkan Panji-panji.

Penganugerahan Panji-Panji ini disempurnakan oleh DYMM Sultan Salahuddin Abdul Aziz Al-Haj Ibnu Almarhum Sultan Hishamudin Alam Shah Al-Haj, selaku Kepten Yang di-Pertua TLDM di KD PELANDOK pada 28 April 1997, bersamaan 20 Zulkaedah 1417H, bersempena Ulang Tahun Hari Tentera Laut Diraja Malaysia Ke-63.

Penganugerahan Panji-Panji ini mencatatkan sejarah kepada TLDM kerana merupakan julung kalinya sebuah unit TLDM menerimanya. KD PELANDOK kini berada dikemuncak kegemilangan kerana sumbangan dan pengorbanannya kini diakui dan diiktiraf oleh negara. Adalah menjadi harapan dan hasrat para pemimpin, khasnya Panglima Pendidikan & Latihan TLDM agar pengurniaan ini akan menjanakan semangat dan penggembelingan usaha seluruh warga KD PELANDOK ke arah pengisian pengertian ‘Diraja’. Sesungguhnya pengurniaan ini adalah satu wadah kecermelangan dan amanah yang diberikan oleh seluruh rakyat Malaysia kepada KD PELANDOK khasnya dan TLDM amnya.