Edaran Action Messing kepada anak-anak kapal yang bertugas

“Edaran Action Messing akan dilaksanakan dalam masa 10 minit”. Pengumuman ini merupakan pemakluman yang sering diberitahu kepada anak-anak kapal semasa sedang merapat ke Stesen Bertindak.

Action Messing merupakan proses sajian anak-anak kapal semasa Stesen Bertindak. Action Messing terbahagi kepada 2 kategori iaitu Jenis A & B. Jenis A adalah penyediaan makanan di dewan makan kapal yang dinikmati secara bergilir oleh sejumlah anggota yang dibenarkan pada satu-satu masa dengan penekanan kepatuhan kepada had masa yang ditetapkan untuk makan. Action Messing jenis B pula adalah pembekalan pek makanan yang diedarkan ke semua stesen di kapal. Selain daripada penyediaan makanan secara hidang dan pek mudah alih, kelancaran penghantaran Action Messing akan dikelolakan oleh Chief of Galley dibawah seliaan Pegawai Bekalan atau Pegawai Laksana.

Secara umumnya, pelaksanaan Action Messing bertujuan memastikan anak-anak kapal sentiasa dibekalkan dengan gizi yang mencukupi termasuk semasa situasi krisis berlaku. Ianya juga bertujuan memastikan anak-anak kapal kekal siaga dan bertenaga untuk terus cekal mempertahankan kedaulatan negara.

Sumber : Unit Perhubungan Raya KD GANAS
Artikel   : Lt Muhammad Haziq bin Sharifuddin TLDM
Foto      : LK I BDI Luqmanul Hakim bin Zulkifli