Laksamana Tan Sri Mohd Reza dan Dr Iskandar Samad menyempurnakan
Pertukaran Memorandum Persefahaman di antara TLDM dan MIMOS Berhad

BUKIT JALIL, 8 Feb - Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza bin Mohd Sany telah menyempurnakan Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman di antara MIMOS Berhad dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Kehadiran Panglima Tentera Laut telah disambut oleh Dr Iskandar Samad, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif MIMOS Berhad.

Memorandum Persefahaman di antara MIMOS dan TLDM ini telah dimeterai pada 30 Oktober 2021 untuk tempoh selama 5 tahun, iaitu sehingga 29 Oktober 2026. Memorandum ini bertujuan untuk melaksanakan kerjasama penambahbaikan dan peningkatan dalam bidang ICT bagi TLDM.

Beberapa kerjasama dan aktiviti telah dilaksanakan seperti khidmat nasihat teknikal untuk pembangunan Sistem Pengurusan Pemantauan Bersepadu TLDM, atau RMN-ILIS, latihan dan penggunaan teknologi MIMOS untuk pemantauan Sistem TLDMnet, serta perlaksanaan projek pembuktian konsep (POC) bagi teknologi ICT yang dibangunkan berdasarkan keperluan TLDM.

Selain daripada itu, kesinambungan daripada kejayaan projek POC RMN-ILIS, MIMOS juga meneruskan khidmat nasihat teknikal bagi membantu TLDM membuat persediaan perlaksanaan projek Sistem Maklumat Kesediaan Bersepadu TLDM, atau RMN-IRIS, yang akan datang.

Selesai upacara pertukaran memorandum, Laksamana Tan Sri Mohd Reza dan delegasi dibawa melawat fasiliti MIMOS Berhad iaitu ke Big Data IoT Technology Accelerator Lab (BITX) dan juga MIMOS Semiconductor Technology Centre.

Panglima Tentera Laut juga sempat menyaksikan beberapa demostrasi yang ditunjukan dan mendengar taklimat berkaitan teknologi-teknologi yang sedang dibangunkan oleh pihak MIMOS.

Turut hadir sebagai delegasi TLDM adalah Asisten Ketua Staf (AKS) Materiel Laksamana Muda Dato' Pahlawan Affenddy bin Suhaimi, Inspektor Jeneral TLDM Laksamana Muda Chan Peng Cheong, AKS Operasi dan Strategi Laksamana Muda Khir Junaidi bin Idris, AKS Komunikasi Peperangan dan Sistem Informasi (KPSI) Laksamana Pertama Azman bin Rabani, Pengarah Kanan Perancangan dan Pembangunan Laksamana Pertama Yusne bin Mokhtar serta Pegawai Kanan dan anggota dari Bahagian KPSI.

Diharapkan hubungan di antara pihak TLDM dan MIMOS Berhad akan diteruskan lagi di masa akan datang.

Artikel & Foto : LK PRL Mohd Faisa bin Mamat