PUTRAJAYA, 10 Jun - Istiadat Mengarak Panji-Panji KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong sempena Hari Keputeraan Rasmi Baginda telah berlangsung hari ini bertempat di Dataran Pahlawan Negara, Putrajaya.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda (KDYMM SPB) Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah bersama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj telah bercemar duli ke upacara pagi ini.

Bagi kontinjen TLDM, seramai 128 orang yang terdiri daripada 5 Pegawai dan 123 anggota Lain-Lain Pangkat telah terlibat dalam upacara istiadat ini. Kontinjen TLDM telah diketuai oleh Lt Kdr Wan Mohamad Firdaus bin Wan Ghazali TLDM manakala Pegawai Panji-Panji Agong TLDM adalah Lt Mohd Hafiz bin Zakaria TLDM.

Pegawai dan Anggota Kontinjen TLDM yang terpilih terdiri dari Unit-unit, Markas-markas dan kapal-kapal seluruh Pangkalan TLDM Lumut.

Sempena istiadat ini sebanyak lima (5) Panji-Panji KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong diarak oleh kontinjen-kontinjen dari tiga (3) perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) iaitu Tentera Darat Malaysia (TDM) melibatkan Panji-Panji Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Rejimen Renjer Diraja (RRD) dan Kor Armor Diraja (KAD), Panji-Panji Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Panji-Panji Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Kali terakhir upacara istiadat ini diadakan adalah pada tahun 2019, setelah hampir 2 tahun tidak diadakan dan selaras dengan negara telah memasuki fasa Endemik, maka Seri Paduka Baginda telah berkenan untuk istiadat berkenaan dilaksanakan pada tahun ini.

Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza bin Mohd Sany dan Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Datuk Abdul Rahman bin Ayob antara yang hadir ke upacara istiadat ini.

Turut hadir ke upacara isitiadat ini adalah Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob serta isteri, YABhg Datin Sri Muhaini binti Zainal Abidin; Menteri Kanan Pertahanan, YB Dato’ Seri Hishammuddin Hussein serta isteri YM Datin Seri Tengku Marsilla Tengku Abdullah; Timbalan Menteri Pertahanan, YB Dato' Sri Ikmal Hisham Bin Abdul Aziz; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Hj. Affendi bin Buang TUDM dan isteri YAM Tengku Puteri Seri Teja Puan Sri Datuk Hjh Tengku Muhaini binti Almarhum Sultan Hj Ahmad Shah, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Malaysia, Dato' Sri Muez bin Abd Aziz, Panglima-panglima Perkhidmatan yang lain, Pegawai-Pegawai Kanan Kerajaan, Pihak Pengurusan Tertinggi ATM dan Kementerian Pertahanan.