LK I TLS Logindaran (kiri) dan LK II PRL Muhammad Hadrie 

Peluang untuk belayar jauh ke luar negara adalah sesuatu yang pastinya diimpikan oleh para pelaut dan tidak terkecuali juga kepada warga Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Bagi 132 warga kapal KD LEKIR yang akan menyertai eksesais Rim of the Pacific (RIMPAC) di Hawaii, Amerika Syarikat, pelayaran yang memakan masa lebih tiga bulan ini adalah pengalaman yang tidak dapat dibeli dengan wang ringgit.


Antara mereka adalah Laskar Kelas II PRL Muhammad Hadrie bin Asrolsani dan Laskar Kelas I TLS Logindaran a/l Parasuraman, yang merupakan warga termuda KD LEKIR.


LK II Muhammad Hadrie mula berkhidmat di kapal jenis korvet ini sejak 26 Julai 2021 ketika menjalani Latihan Sambil Kerja (LSK) dan kemudian diperjawatkan sebagai Pembantu Juragan pada awal April tahun ini.


Anak kelahiran Jitra, Kedah ini berasa teruja apabila KD LEKIR dipilih sebagai wakil TLDM ke eksesais RIMPAC 2022 dan berhasrat untuk melihat dan mengenali aset negara-negara lain yang turut sama menyertai eksesais maritim terbesar dunia tersebut.


“Selama ini, saya hanya dapat melihat aset negara lain di televisyen dan laman web sahaja tetapi tidak lama lagi saya akan dapat melihatnya secara langsung depan mata saya sendiri.


“Penugasan yang panjang seperti ini memerlukan kekuatan mental dan fizikal kerana terpaksa berjauhan dengan keluarga,” jelas LK II Muhammad Hadrie.

LK I Logindaran juga gembira menjadi salah seorang kru KD LEKIR untuk pelayaran ini, yang juga kali pertama beliau belayar ke luar negara sebagai warga TLDM.
Teknisyen elektrik berusia 23 tahun ini mula bertugas di KD LEKIR sejak 13 Disember 2021 di jabatan Elektrik dan Senjata.

Penyertaan KD LEKIR di RIMPAC 2022 akan menyaksikan kapal melaksanakan latihan penembakan misil dan LK I Logindaran adalah seorang kru yang menjaga peralatan berkaitan agar latihan tersebut dapat berjalan dengan lancar.


“Sebagai staf elektrikal, saya mempunyai tanggungjawab untuk menjaga peralatan di kapal agar berada dalam keadaan yang baik,” katanya.

Dengan perjalanan ke Hawaii berbaki dua minggu lagi, kedua-dua pelayar muda ini sudah menyesuaikan diri dengan keadaan kapal membelah ombak untuk sampai ke destinasi.

Walaupun sibuk dengan tugas di jabatan masing-masing, mereka sentiasa mengingati keluarga tercinta di tanahair.


“Sepanjang bertugas di KD LEKIR saya jarang dapat menyertai aktiviti bersama keluarga tetapi itulah cabaran sebagai seorang warga TLDM demi menjaga keselamatan perairan negara kita,” ujar LK I Logindaran.


Artikel : Lt Norzuhaira binti Ruhanie PSSTLDM

Foto    : BM KOM Thasaratan a/l Veeramuthu