KUALA LUMPUR, 23 Jun – Majlis Meraikan Bakal Haji TLDM 1443H/2022M telah disempurnakan oleh Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza bin Mohd Sany di KD SRI GOMBAK hari ini.

Turut hadir di majlis tersebut adalah Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Datuk Abdul Rahman bin Ayob dan ahli JLAKS sekitar Lembah Klang.

Seramai 23 pasangan dari perkhidmatan TLDM telah terpilih untuk menunaikan ibadah haji pada tahun ini iaitu 15 pasangan yang terpilih adalah melalui Pakej Haji Furada ATM manakala 8 lagi pasangan melalui pakej Muassasah Tabung Haji.

Komander Martini binti Mansor TLDM, Pegawai Staf 1 Kewangan, Markas Tentera Laut berkata, beliau telah memohon untuk menunaikan ibadah haji pada tahun 2019 dan berasa sangat bersyukur kerana dapat menunaikan ibadah pada tahun ini.

“Saya berterima kasih kepada ATM kerana membuka pakej Furada ini dan berharap ia dapat diambil peluang oleh rakan TLDM yang lain juga”, tambah beliau.

“Alhamdulillah kerana saya diberi peluang menjadi tetamu Allah dengan melaksanakan Ibadah Haji pada tahun ini.

“Saya mendoakan saudara dan saudari muslim yang masih belum menerima jawapan permohonan agar dapat menerima jemputan sebagai tetamu Allah dalam masa terdekat.

“Ribuan terima kasih kepada ATM dan TLDM atas peluang yang saya dapat melalui pakej Furada ini untuk menunaikan Haji di tanah suci,” kata Kepten Ananthan bin Tharmalingam TLDM, Ketua Staf, Markas Pemerintahan Pasukan Simpanan.

Panglima Angkatan Kapal Selam, Laksamana Pertama Mohd Razib bin Tahir berkata, beliau mewakili bakal haji tim TLDM menzahirkan rasa bersyukur atas peluang yang telah diberikan oleh perkhidmatan.

“Majlis yang diadakan ini membuktikan pengurusan tertinggi TLDM sentiasa prihatin dan memberi sokongan kepada warganya untuk melaksanakan Ibadah Haji sebagai rukun Islam kelima.

“Saya amat berterima kasih kepada pengurusan tertinggi TLDM kerana meraikan kami dengan majlis seumpama ini,” katanya dengan terharu.