Moderator. Laksma Dr. Najhan bin Md Said sedang memberi taklimat kepada peserta bengkel.

Pusat Hidrografi Nasional sekali lagi telah berjaya memartabatkan nama Malaysia dan TLDM di pentas antarabangsa apabila kepakaran yang dimiliki oleh PHN telah diikhtiraf negara luar. Laksma Dr. Najhan bin Md Said, Timbalan Panglima Armada Timur selaku Ahli Tetap Sub-Committee on Undersea Feature Names (SCUFN) dan beberapa tenaga pakar PHN telah dijemput untuk menjayakan Bengkel Teknikal Penamaan Fitur Dasar Laut anjuran Tentera Laut Vietnam (TLV). Bengkel Teknikal ini telah dilaksanakan pada 20-23 Jul 22 di Hotel Avani Harbour View, Hai Phong, Vietnam.

Kerjasama di antara Pusat Hidrografi Nasional dan Pejabat Hidrografi Vietnam di dalam aktiviti penamaan FDL telah bermula sejak Mei 2021 apabila negara tersebut mula terlibat sebagai negara pemerhati di dalam SCUFN pada tahun 2019. Kerjasama di antara kedua-dua pejabat hidrografi ini telah disenaraikan di bawah MOU Kerjasama Pertahanan antara Vietnam dan Malaysia. Melalui kerjasama yang telah terjalin, PHN telah berjaya membantu Vietnam untuk mendaftarkan sebanyak 48 daripada 67 submissions penamaan FDL yang telah dimajukan kepada SCUFN.

Objektif utama Bengkel Teknikal Penamaan FDL kali ini lebih memfokuskan kepada melengkapkan dokumentasi permohonan semula (resubmissions) bagi penamaan 19 FDL yang telah ditangguhkan oleh SCUFN disebabkan oleh isu teknikal. Sehubungan itu, khidmat konsultansi teknikal daripada PHN amat diperlukan TLV bagi membantu negara tersebut untuk menyelesaikan isu teknikal dan membuat pembetulan terhadap permohonan yang telah dimajukan sebelum ini.

Laksma Dr Najhan telah terlibat secara aktif dalam aktitiviti penamaan FDL sejak tahun 2018 selepas beliau dipilih International Hydrographic Organisation (IHO) sebagai Ahli Tetap SCUFN untuk penggal 2018 – 2022. Beliau juga merupakan satu-satunya ahli jawatankuasa daripada Asia Tenggara sejak SCUFN ditubuhkan pada 2006. Sebagai Ahli Tetap SCUFN, beliau sering dirujuk berkaitan proses penamaan FDL dan mempunyai obligasi untuk membantu negara serantau melengkapkan submissions kepada SCUFN. Bagi program Bengkel FDL anjuran TLV kali ini, beliau bertindak sebagai Moderator dan telah berkongsi kepakaran serta pengalaman beliau dalam proses melengkapkan dokumen submissions penamaan FDL di Laut China Selatan (LCS). Penglibatan beliau dan tim teknikal Pusat Hidrografi Nasional di dalam bengkel ini bukan sahaja memenuhi obligasi SCUFN dan kerjasama MOU, tetapi juga sebagai pemangkin kemuafakatan bersama negara serantau.

Selain Laksma Dr Najhan, delegasi Malaysia juga turut disertai oleh 3 orang pegawai hidrografi daripada PHN iaitu Lt Kdr Idzwan Naim bin Mohd Norwawi, Lt Kdr Mohd Firdaus Ghazali bin Mohd Yusof dan Lt Muhamad Khalis bin Ismail. Sepanjang berada di Vietnam, delegasi Malaysia telah melaksanakan perkongsian dengan TLV berhubung fungsi SCUFN dan pengalaman Malaysia dalam melaksanakan penamaan fitur dasar laut di bawah SCUFN. Tim teknikal yang terlibat juga turut memberikan tunjuk ajar dan khidmat nasihat kepada rakan sejawat, wakil Pejabat Peguam Negara serta Kementerian Luar Negeri Vietnam berhubung isu perundangan, teknikal dan spesifikasi data yang perlu dimajukan kepada SCUFN bagi memenuhi keperluan penamaan bagi setiap kriteria fitur dasar laut yang terlibat.

Secara dasarnya, bengkel yang diadakan ini telah berjaya mencapai objektifnya dan dalam masa yang sama telah mengeratkan lagi hubungan kerjasama di antara TLDM dan TLV serta pejabat hidrografi kedua-dua buah negara.

Sumber :Cawangan Geospatial Marin, Pusat Hidrografi Nasional