Penyelam pembersihan dasar laut pulang bersama kutipan sampah dari dasar laut.

KOTA KINABALU, 27 Ogos – Panglima Angkatan Kapal Selam, Yang Berbahagia Laksamana Pertama Mohd Razib bin Tahir telah menyempurnakan Majlis Perasmian Program Jiwa Murni Borneo Ultra Ocean Clean-Up 2022 bertempat di Taman Awam Teluk Likas, Kota Kinabalu pada 27 Ogos 22.

Di sebalik tugas menjaga kedaulatan dan perairan negara, Angkatan Kapal Selam TLDM dengan kerjasama Institut Penyelidikan Marin Borneo, Universiti Malaysia Sabah (IPMB UMS) telah mengambil peluang melaksanakan tanggungjawab sosial untuk menabur bakti kepada komuniti setempat dalam menganjurkan program jiwa murni yang tertumpu kepada pembersihan pantai Teluk Likas dan pembersihan dasar laut di Taman Tunku Abdul Rahman serta Pulau Sepanggar.

Program ini juga turut mendapat sokongan oleh Lembaga Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah, Majlis Keselamatan Negara Negeri Sabah, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Negeri Sabah & W.P Labuan, Jabatan Laut Malaysia (Wilayah Sabah), Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu, Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Negeri Sabah, Jabatan Bomba & Penyelamat Malaysia Negeri Sabah (Zon 1 Kota Kinabalu), Wildlife Fund (WWF) – Malaysia, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu serta orang awam.

Program yang julung kalinya diadakan telah melibatkan seramai 146 orang penyelam bagi pembersihan dasar laut serta seramai 422 orang bagi pembersihan pantai telah dapat dilaksanakan dengan jayanya bagi memastikan kebersihan persekitaran kawasan tumpuan awam di sekitar Kota Kinabalu dapat dipertingkatkan sekaligus menggalakkan sektor pelancongan Negeri Sabah.

Program yang dilaksanakan bersempena dengan sambutan Oceans Celebration ini secara tidak langsung dapat memupuk kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan menjaga pantai serta laut telah mengukuhkan lagi hubungan serta kerjasama di antara agensi-agensi utama negeri ini dan masyarakat setempat dalam menjana kemakmuran dan kelestarian Negeri Sabah.

Sumber : Pejabat Perhubungan Awam (N7) MPKS