SURABAYA, 31 Ogos – “Keluarga Malaysia Teguh Bersama” merupakan slogan kemerdekaan negara kita pada tahun ini. The Navy People KD LEKIU dan KD SRI INDERA SAKTI turut tidak terkecuali bersatu dan bersama menyambut Ulang Tahun Kemerdekaan negara yang ke-65 walaupun sedang menjalani Eksesais Bilateral Malaysia-Indonesia siri 26AB/22 atau MALINDO JAYA 26AB/22 di Surabaya, Indonesia.

Lebih manis semasa sambutan kali ini, kapal-kapal TLDM diberi kesempatan untuk merapat di Dermaga Madura, KOARMADA II buat julung kalinya yang merupakan Pangkalan Tentara Nasional Indonesia – Angkatan Laut (TNI-AL) di Surabaya.

Sementara menunggu detik ambang merdeka, KD SRI INDERA SAKTI telah menganjurkan Majlis Resepsi MALINDO JAYA pada malam 30 Ogos 2022 sebagai tanda penghargaan kepada delegasi TNI-AL yang telah menyediakan pelbagai kemudahan sepanjang kapal TLDM di sini. Majlis ini telah dihadiri oleh Panglima Armada Barat, YBhg Laksamana Madya Datuk Abu Bakar bin Md Ajis serta Panglima Komando Armada II, Laksamana Muda TNI T.S.N.B Hutabarat selaku tetamu kehormat dan pegawai-pegawai kanan dari TNI-AL. Turut serta semasa Majlis Resepsi ini adalah warga kapal yang terlibat dengan eksesais ini.

Sepanjang majlis berlangsung, kedua angkatan laut telah disajikan dengan persembahan dari Badan Kesenian (BAKES) TLDM, dikir barat KD LEKIU, persembahan khas alunan violin oleh Lt Amirul Faris bin Abdul Rahim TLDM dan sesi karaoke dari kedua-dua delegasi selain pelbagai hidangan menarik yang disediakan oleh pihak TLDM. Majlis diakhiri dengan kolaborasi Tarian Tradisional Malaysia oleh kedua angkatan laut. Kemesraan kedua delegasi jelas terserlah sepanjang majlis ini berlangsung.

Selepas selesai Majlis Resepsi MALINDO JAYA, acara diteruskan dengan menunggu detik ambang merdeka di kedua-dua kapal. Pada jam 11 malam (2300G) Surabaya atau detik tengah malam waktu Malaysia, laungan “Merdeka” jelas kedengaran di seluruh Dermaga Tengah, KOARMADA II, Surabaya daripada The Navy People di KOARMADA II. Yang Berbahagia Panglima Armada Barat turut bersama-sama warga TLDM menyanyikan lagu Negaraku dan Tanggal 31 serta meraikan hari kemerdekaan negara ke-65 dengan meriah. Selain itu, warga KD LEKIU turut membuat formasi 65 sebagai simbolik 65 tahun Malaysia mencapai kemerdekaan.

Walaupun jauh di perbatasan, nilai sebuah kemerdekaan kepada negara kita amat dihargai dan dihayati oleh setiap perajurit yang menyarung seragam Angkatan Tentera Malaysia amnya dan TLDM khasnya. The Navy People Armada Barat akan sentiasa bersiap siaga bagi memastikan kedaulatan negara Malaysia tercinta sentiasa dijaga dan terpelihara.

Kemanisan menyambut hari kemerdekaan di bumi Surabaya membuktikan keterbukaan dan jalinan erat saudara serumpun kedua angkatan laut serta akan kekal terpahat di memori The Navy People yang terlibat. Sedia Berkorban!

Sumber : Pejabat Komunikasi Strategik MPAB
Artikel : Lt Kdr Najib Ahba bin Abd Hamid TLDM
Foto : Pejabat Komunikasi Strategik MPAB