MIRI, 13 Sep – Bumi yang hijau, dipenuhi bukit-bukau sejauh mata memandang, variasi flora dan fauna serta alam semulajadi yang masih terpelihara, memukau ibarat jatuh cinta pada sang gadis nirmala buat kali pertama. Bumi Borneo yang tidak ternoda oleh kerakusan manusia yang menggali kekayaan dengan menerjah pagar-pagar kudus rimba dan samudera demi memenuhkan gaung-gaung kocek mereka yang selamanya tidak akan penuh, pasti akan meninggalkan seribu cakerawala kenangan buat si pengembara.

Sebagai unit tunggal yang mengoperasikan helikopter di Armada Timur merangkumi Kawasan Tanggungjawab (KTJ) serta Kawasan Operasi Maritim (KOM) yang besar di Sabah dan Sarawak, pelaksanaan penerbangan navigasi jarak jauh (Long Navex) merupakan kaedah terbaik menjangkau ke kawasan-kawasan operasi terpencil samada di sempadan daratan mahupun maritim. Long navex bukan sahaja melatih kru udara iaitu juruterbang, pegawai taktikal udara dan kuatermaster udara untuk merancang penerbangan dengan lebih teliti mengikut prosedur operasi tetap di tempat atau lapangan terbang yang berlainan, malah dapat menguji keupayaan pesawat baharu TLDM iaitu HOM AW 139 diterbangkan jauh dari home base di Stesen Udara Kota Kinabalu (SUKK) Pangkalan TLDM Kota Kinabalu (PTKK) Teluk Sepangar, Sabah.

Pada hari ini, Skuadron 503 melaksanakan penerbangan long navex melibatkan 2 buah pesawat HOM AW 139 (M503-1 dan M503-2) dari SUKK ke Bintulu, seterusnya Kuching, Miri dan kembali semula ke SUKK dengan jarak penerbangan sejauh 985 batu nautika. Pesawat-pesawat ini diterbangkan oleh Komander Hairul Afikin bin Tukimin TLDM, Pegawai Memerintah Skuadron 503 dan Komander Muhammad Firdaus bin Ramli TLDM, Pegawai Laksana Skuadron 503 beserta 14 orang kru terdiri daripada kru udara, pegawai kejuruteraan udara dan juruteknik pesawat. Ibarat sepuluh kali ukur, sekali kerat, semua kru bertungkus-lumus dalam penyediaan peta-peta udara, prosedur kawalan lalulintas udara di setiap lapangan terbang, persediaan pesawat dan keperluan bahan api, serta ramalan cuaca di semua turning point sepanjang penerbangan. Maklumat-maklumat tersebut diambil kira bagi menjayakan misi penerbangan tersebut.

Salah seorang juruteknik pesawat HOM AW 139, berasal dari Rumah Bayang Sungai Lengan Sibu Sarawak, Bintara Muda (BM) Teknisyen Marin Kuasagerak (TMK) Meringgai anak Sayun yang berketurunan Iban, beliau berasa teruja kerana berpeluang terbang bersama HOM AW 139 menyusuri negeri kelahiran beliau daripada ketinggian 1000 ke 5000 kaki. Walaupun tidak dapat melihat pekan Sibu dari tingkap helikopter atas faktor cuaca, beliau sangat berpuas hati dapat bersama-sama kru yang lain menjayakan misi penerbangan ini. BM TMK Meringgai diperjawatkan sebagai Pengurus Logistik Kejuruteraan Udara di Skuadron 503.

Artikel: Lt Kdr Ahmad Fitri bin Alias TLDM, Juruterbang Operasi Skuadron 503
Foto   : PW I AQM Sahardi bin Mohd Sayuti