KUALA LUMPUR, 7 Okt - Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza bin Mohd Sany telah menyempurnakan pemakaian pangkat pegawai TLDM dalam satu majlis di KD SRI GOMBAK hari ini.

Laksamana Muda Dato’ Zulhelmy bin Ithnain mendahului senarai dengan kenaikan pangkat ke Laksamana Madya. Beliau baharu sahaja mengambil alih jawatan sebagai Presiden Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (PUSPAHANAS) pada 6 Oktober 2022.

Seterusnya, Timbalan Panglima Armada Barat, Laksamana Pertama Farizal bin Myeor telah dinaikkan pangkat ke Laksamana Muda. Turut dinaikkan ke pangkat yang sama adalah Inspektor Jeneral TLDM, Laksamana Pertama Mohd Fadzli Kamal bin Mohd Mohaldin.

Pegawai Memerintah Pusat Taktik Maritim Kepten Harisundar a/l Rajoo TLDM pula telah dinaikkan pangkat ke Laksamana Pertama untuk menjadi ahli Jawatankuasa Laksamana TLDM yang baharu.

Turut dinaikkan pangkat adalah dua pegawai muda - Leftenan Muda Muhammad Syafiq bin Khairi Yap TLDM dan Leftenan Muda Wan Aqilah Nadiah binti Azif TLDM - yang dinaikkan ke pangkat Leftenan Madya TLDM.

Dalam ucapan beliau, Tan Sri Mohd Reza mengingatkan semua yang hadir tentang kenaikan pangkat yang datang bersama tanggungjawab dan amanah yang lebih besar. Beliau turut memberi penghargaan kepada ahli keluarga, rakan-rakan dan anggota bawahan yang memberi sokongan.

Turut hadir di majlis tersebut Timbalan Tentera Laut, Panglima Armada Timur, Panglima Armada Barat, ahli Jawatankuasa Laksamana dan warga #NavyPeople sekitar Lembah Klang.