KUALA LUMPUR, 8 Okt – Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza bin Mohd Sany bersama Menteri Kanan Pertahanan, YB Dato' Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Haji Affendi bin Buang TUDM telah hadir ke Istiadat Perbarisan Pentauliahan Diraja dan Pengurniaan Watikah Tauliah Pegawai Kadet Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Tahun 2022 yang telah disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Amat Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertempat di Dataran Panglima Tentera Darat, Kem Perdana Sungai Besi, Kuala Lumpur pada pagi ini.

Istiadat perbarisan kali ini melibatkan 643 orang Pegawai Kadet ATM terdiri daripada gabungan 4 buah Kolej Perkhidmatan iaitu 310 orang Pegawai Kadet dari Akademi Latihan Ketenteraan (ALK), 224 orang Pegawai Kadet dari Akademi Tentera Darat (ATD), 49 orang Pegawai Kadet dari Kapal Diraja Sultan Idris Pertama (KDSI I) dan 60 orang Pegawai Kadet dari Akademi Tentera Udara (ATU) diketuai oleh Pegawai Rendah Kanan (PRK) Mohd Aiman Amzar bin Mohamad Pazli dari ALK. Dalam perbarisan ini, turut diadakan penyampaian Anugerah Pedang Kehormat berserta Piala kepada 7 orang Pegawai Kadet Terbaik bagi setiap perkhidmatan.

Selesai Istiadat Perbarisan di Dataran Panglima Tentera Darat, KDYMM Pemangku Raja Pahang berkenan mengurniakan watikah tauliah kepada 416 orang Pegawai Kadet Tentera Darat Malaysia (TDM), 101 orang Pegawai Kadet Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan 126 orang Pegawai Kadet Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang berlangsung di Dewan Tun Templer, ALK disusuli dengan bacaan ikrar Taat Setia Perwira serta penyerahan skrol ikrar oleh Pegawai Muda yang baru ditauliahkan.

Turut hadir ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Dato’ Sri Muez Abd Aziz, Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Dato' Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM, wakil panglima perkhidmatan serta Pegawai-Pegawai Kanan ATM dan ahli keluarga pegawai-pegawai muda yang diraikan.