KUALA LUMPUR, 16 Mac – Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Abdul Rahman bin Ayob hadir ke Majlis Makan Malam Rejimental Pegawai Tidak Tauliah Kanan (PTTK) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 2023 yang telah disempurnakan oleh Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi bin Buang TUDM bertempat di Hotel Royal Chulan, Kuala Lumpur, malam tadi.

Majlis penuh istiadat yang julung kali diadakan setelah 21 tahun itu telah dihadiri oleh 321 PTTK daripada ketiga-tiga perkhidmatan ATM.

Turut hadir ke majlis ini adalah Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Dato’ Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM; Asisten Ketua Staf Sumber Manusia Tentera Darat Malaysia, Mej Jen Azhan bin Hj Md Othman mewakil Panglima Tentera Darat; Sarjan Mejar Rejimen ATM, PW I Hayazi bin Abdul Aziz; Pegawai Waran TUDM, PW U I Mohamad Lockman bin Abdul Jabar; Pegawai Waran TLDM, PW I TLS (AQM) Mohamad Noorfazli bin Ariffin dan SMR Istiadat Perkhidmatan.

Panglima Angkatan Tentera dalam ucapannya melahirkan rasa puji dan syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan izinNya, Majlis Makan Malam Regimental PTTK ATM yang tertangguh hampir dua dekad ini berjaya dilaksanakan.

Menggelar PPT Kanan sebagai 'Tulang Belakang ATM', Panglima Angkatan Tentera serta kepimpinan tertinggi ATM menzahirkan rasa terima kasih kepada semua yang telah bertungkus lumus menjayakan majlis pada malam tersebut.

Mengakhiri ucapan, beliau menyeru agar semua warga ATM terus bersatu hati menggembeleng tenaga dan berusaha keras dalam memastikan segala perancangan yang telah dibuat dapat dilaksanakan dengan baik di dalam meneruskan kesinambungan kecemerlangan dan pencapaian ATM.