Laskar Kanan JJM Nurul Atikah binti Janah @ Zainal yang kini berkhidmat di Bahagian Sumber Manusia, Markas Tentera Laut telah melakar sejarah tersendiri apabila telah terpilih pengadil perlawanan mengendalikan Final Kejuaraan Futsal Kelab AFF 2023 di antara kelab Thailand, Hongyen Thakam dan kelab Indonesia, Black Steel FC di Terminal 21 Korat, Thailand pada 7 Mei 2023.
 
Laskar Kanan Atikah adalah seorang atlet tenis yang masih aktif mewakili TLDM dan ATM, mula berjinak dalam bidang pengadilan bola sepak pada tahun 2017 sebagai pengadil kebangsaan Kelas 3 dan pada tahun 2021 telah memulakan karier sebagai Pengadil Bola Sepak Kebangsaan Kelas 1. Beliau adalah satu-satunya pengadil wanita yang mengadili perlawanan Liga Futsal Primier Malaysia (MPFL) 2022 bagi kategori Lelaki dan Wanita dan juga merupakan antara 20 pengadil terbaik yang mengadili Piala Malaysia Futsal 2022.
 
“Pengalaman sebagai pengadil bukan mudah, saya perlu bersedia dari segi mental dan fizikal dengan tahap kecergasan di tahap terbaik. Undang-undang permainan juga perlu dikemaskini sebilang masa,” ujar Laskar Kanan Atikah.
 
Di sebalik kejayaan mengharumkan nama TLDM di persada antarabangsa, Laskar Kanan Atikah tidak pernah mengabaikan tanggungjawab dan tugas hakiki sebagai staf Jasmani. Bagi beliau, sukan bukan penghalang untuk bekerja selagi tahu bagaimana cara menguruskan dan berkomunikasi dengan baik dengan Pegawai serta rakan sekerja.