Laksda (M) Hamid bin Hj Mohd Amin menandatangi buku pelawat
Bahagian Inspektorat Jeneral

KUALA LUMPUR, 17 Feb - Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Penyelarasan Maritim Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Laksda (M) Hamid bin Hj Mohd Amin hari ini telah melaksanakan kunjungan hormat kepada Inspektor Jeneral TLDM, Laksda Chan Peng Cheong. Pertemuan ulung ini dimulakan dengan menandatangani buku pelawat Pejabat Inspektor Jeneral.

Perjumpaan ini merupakan inisiatif kedua-dua pihak dalam memperkasakan kerjasama dan penambahbaikan ke arah kecemerlangan TLDM dan APMM bersama. Pelbagai isu telah dibincangkan, terutamanya berkenaan peranan penting dalam memastikan sistem audit yang kukuh dan berkesan dari segi semua aspek.

Perbincangan turut berkisar tentang cabaran dan perkembangan semasa pandemik Covid-19 serta norma baharu yang telah mengubah pelaksanaan tugasan harian secara drastik. Kerjasama berterusan di antara TLDM dan APMM sangat penting dalam melaksanakan pemantauan dan rondaan berterusan bagi memastikan tiada ancaman keselamatan konvensional mahupun bukan konvensional yang boleh menggugat kesejahteraan Negara.

Selain perbincangan berkenaan operasi dan tugas teras, Inspektor Jeneral turut berkongsi berkenaan Pelan Strategik TLDM 2125 dan cabaran yang dihadapi dalam merealisasikan objektif serta semua teras strategi yang telah digariskan.

Pertemuan diakhiri dengan pertukaran cenderahati di antara kedua-dua Panglima. Lawatan turut disertai oleh Kdr (M) Izwanhadi bin Idros dan Kdr Abdul Halim bin Mohammad TLDM.

Artikel : Lt Kanthan a/l Jeyaprakash TLDM
Foto    : LK PWP Muhamad Zul Akmal bin Ahmad