KUALA LUMPUR, 17 Jun - Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza bin Mohd Sany telah menyempurnakan Upacara Menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) TLDM dan UMT iaitu di antara beliau dan  Naib Canselor UMT, Kepten (Kehormat) Prof Dato' Dr Mazlan bin Abd Ghaffar PSSTLDM.

Ini merupakan MOU kedua selepas MOU pertama telah tamat tempoh pada 21 Oktober 2020.

Sebelum, upacara MOU berlangsung, majlis telah dimulai dengan Pemakaian Pangkat Kepten (Kehormat) Prof Dato' Dr Mazlan bin Abd Ghaffar PSSTLDM, Naib Canselor UMT. Kedua-dua majlis ini telah dilaksanakan secara serentak sebagai simbolik penghargaan oleh Pengurusan Tertinggi TLDM kepada UMT lanjutan daripada kerjasama yang erat di antara kedua-dua organisasi yang telah lama terjalin.

Kerjasama UMT dan TLDM telah bermula sejak tahun 2003 apabila Cawangan Hidrografi TLDM mula menghantar pegawainya untuk mengikuti Kursus Intensif Oseanografi dan Kursus Lanjutan yang masing-masing diadakan selama sebulan dengan kehadiran 10 pegawai TLDM.

Sepanjang tempoh pengajian itu, kursus-kursus tersebut telah dikendalikan oleh Institut Oseanografi (INOS) dan UMT pada ketika itu dikenali sebagai Kolej Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (KUSTEM). MOU ini bertujuan bagi menjalinkan kerjasama strategik atau Smart Partnership yang bersifat menyeluruh dan merangkumi skop pembangunan hal-hal penyelidikan, penyediaan latihan serta kursus yang sesuai dengan bidang pertahanan maritim negara.

Selain itu, pembangunan kokurikulum pelajar seperti pemerkasaan unit PALAPES TLDM di UMT turut difokuskan di dalam MOU yang baharu ditandatangani ini.

“Terima kasih diucapkan kepada Panglima Tentera Laut kerana menyempurnakan pemakaian pangkat Kepten Kehormat kepada saya pada pagi ini. Dengan termeterainya MOU ini, ia menguatkan lagi kerjasama yang sudah sekian lama terjalin antara TLDM dan UMT serta sekaligus memberi peluang kepada warga TLDM untuk menimba ilmu di UMT."

“Saya juga berharap aktiviti PALAPES Laut dapat dilaksanakan secara berterusan setelah ianya terhenti disebabkan pandemik COVID-19 sebelum  ini. Aktiviti ini perlu diteruskan dengan memberi pendedahan kepada PALAPES Laut membuat latihan menggunakan aset TLDM sama ada yang berada di Pangkalan TLDM Lumut mahupun di Pangkalan TLDM Kuantan sebagai pendedahan awal sebelum mereka menyertai TLDM,” kata Kepten (Kehormat) Prof Dato’ Dr Mazlan bin Abd Ghaffar PSSTLDM.

Sumber: Cawangan Pembangunan Sumber Manusia, Markas Tentera Laut