GEMAS, 21 Jun – Acara tahunan Tentera Darat Malaysia (TDM), Latihan Kuasa Tembakan (LKT) tahun 2022 telah berlangsung di Kem Syed Sirajuddin, Gemas, Negeri Sembilan, hari ini.

LKT kali ini telah disempurnakan oleh Menteri Kanan Pertahanan, YB Dato’ Seri Hishammuddin bin Tun Hussein dengan diiringi Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Affendi bin Buang TUDM dan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Zamrose bin Mohd Zain.

Satu kebanggaan buat Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) apabila Pesawat Udara TLDM iaitu helikopter Super Lynx dan AS555 Fennec turut terlibat dalam LKT kali ini bagi segmen tembakan langsung LKT dengan pelaksanaan maneuver dan kuasa tembakan yang turut melibatkan aset Infantri, Mekanize, Armor, Artileri, PUTD dan Pesawat Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza bin Mohd Sany turut hadir bagi menyaksikan penglibatan pasukan TLDM dalam latihan kali ini.

Disamping beliau, antara barisan kepimpinan tertinggi Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang turut hadir adalah Timbalan Menteri Pertahanan, YB Dato’ Sri Ikmal Hisham bin Abdul Aziz, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Dato’ Sri Muez bin Abd Aziz, panglima-panglima perkhidmatan serta penuntut Kursus Pemerintahan dan Staf Malaysia dari Maktab Turus Angkatan Tentera.

Latihan yang melibatkan seramai 2,300 pegawai dan anggota daripada pelbagai kepakaran serta 644 pelbagai jenis kenderaan tempur, kenderaan sokongan dan sistem persenjataan ini adalah pendekatan yang selari dengan perancangan MINDEF dan ATM di bawah Pelan Strategik MINDEF 2022 serta Kertas Putih Pertahanan iaitu memastikan kesiagaan ATM terus berada pada tahap tertinggi demi mempertahankan kedaulatan negara.

Artikel : LK PRL Mohd Faisa bin Mamat
Foto    : BM PNK Muhammad Fairuz bin Muhammad Azman