LANGKAWI, 4 Jul – Upacara Penutup Op PATKOR MALINDO 156/22 telah disempurnakan oleh Kepten Erman Shahril bin Adlan TLDM, Ketua Staf MAWILLA 3 di Dewan Tun Rahah, Markas Wilayah Laut 3, Langkawi pada 29 Jun 22. Turut hadir semasa upacara tersebut adalah Kolonel Laut (P) Mochamad Andri Wahyu Sudrajat, Atase Laut Republik Indonesia, Letnan Kolonel Laut (P) Bambang Rudi Raharjo, Paban Ops Gugus Keamanan Laut (GUSKAMLA) serta Komander Segar Muniandy TLDM, Ketua Pegawai Staf Operasi MPA Barat merangkap Ketua Gugus Tugas.

Op PATKOR MALINDO 156/22 ini telah berlangsung dari 16 hingga 29 Jun 22 di perairan Selat Melaka yang melibatkan aset Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) iaitu KD LAKSAMANA HANG NADIM dan KD KINABALU bersama aset Tentara Nasional Indonesia Angkatan Laut (TNI-AL) iaitu KRI BUBARA dan KRI LEPU. Ianya bertujuan bagi memupuk kesepaduan dan kesefahaman bersama mengenai kepentingan pemeliharaan tahap keselamatan perairan Selat Melaka disamping mengukuhkan keyakinan komuniti maritim.

Op PATKOR MALINDO 156/22 pada kali ini memperlihatkan komitmen jitu yang telah dipamerkan oleh kedua-dua angkatan tentera laut. Acara penutup ini juga turut melibatkan beberapa aktiviti lain iaitu Kunjungan Hormat ke atas Ketua Staf MAWILLA 3 oleh wakil TNI AL, Perbincangan Pegawai Operasi dari kedua- dua negara, acara sukan persahabatan dan diakhiri dengan Majlis Malam Mesra.

Adalah diharapkan peluang untuk beroperasi bersama angkatan tentera laut sahabat seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang bagi memastikan hubungan yang telah sedia terjalin terus diperkukuhkan. Syabas dan tahniah diucapkan kepada semua yang terlibat.