Segak Melangkah Gagah. Komander Shahruzikri mengetuai Kontijen Tentera Laut Diraja Malaysia

KUALA LUMPUR, 31 Ogos - Setelah 2 tahun tidak diadakan, sambutan Hari Kebangsaan 2022 disambut meriah bersama rakyat Malaysia di Dataran Merdeka pagi tadi.

Dengan bertemakan 'Keluarga Malaysia Teguh Bersama' semangat perpaduan rakyat dapat dilihat di mana seawal pagi warga Malaysia mula memenuhi Dataran Merdeka bagi memberi sokongan kepada semua yang terlibat dengan perbarisan.

Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Datuk Abdul Rahman bin Ayub dan Isteri, Datin Dr. Norinah binti Mustapha turut hadir bagi memeriahkan lagi sambutan Hari kebangsaan 2022 serta memberi sokongan kepada warga Navy People yang terlibat.

Pasukan Pancaragam Pusat TLDM dengan kekuatan seramai 60 anggota mendahului perbarisan kontinjen dan diketuai oleh Leftenan Komander Mohd Shamram bin Ramli TLDM serta dibantu oleh PW I PGM Lewan Lezanie bin Johari. Manakala Drum Major adalah PW I PGM Azumie bin Abd Jalil. Kontinjen perbarisan Tentera Laut Diraja Malaysia pula dengan kekuatan 367 anggota adalah terdiri daripada 4 Pegawai dan 363 anggota Lain-lain Pangkat gabungan dari Pangkalan TLDM Lumut dan Markas Wilayah Laut 1, Pangkalan TLDM Kuantan.

Perbarisan kali ini turut melibatkan aset, Rigid Hull Inflatable Boat (RHIB) yang digunakan oleh PASKAL dan kenderaan pembawa misil, torpedo dan periuk api yang digunakan oleh kapal-kapal TLDM. Antara misil yang dipamerkan adalah Misil Exocet MM40, Misil Exocet SM39, Torpedo Light Weight A244S dan Periuk Api MR40.

Selain itu, peralatan yang turut dibawa adalah Recompression Chamber yang digunakan untuk rawatan sekiranya penyelam mengalami Penyakit Menyelam dan Mine Disposal Vehicle yang digunakan untuk mencari dan memusnahkan periuk api dasar laut.

Kontinjen TLDM turut dimeriahkan dengan penampilan khas pelakon-pelakon PASKAL THE MOVIE, Amar Alfian (Jep), Taufiq Hanafi (Ustaz) dan Hafizul Kamal (Yan).

Dengan penampilan dan konsep perarakan yang ditonjolkan TLDM yang terdiri daripada pelbagai bangsa, kaum dan agama melambangkan perpaduan negara “Keluarga Malaysia Teguh Bersama”.

Sumber : Cawangan Komunikasi Strategik, Markas Tentera Laut
Artikel : LK PRL Mohd Faisa bin Mamat
Foto : LK PWP Muhamad Zul Akmal bin Ahmad
          LK TNL Mohd Radhi bin Awang