Sebahagian peserta Eksesais KAKADU 2022 yang terdiri daripada negara Indo-Pasifik

KUALA LUMPUR, 17 Sep - Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sekali lagi menyertai eksesais berskala besar di peringkat antarabangsa bagi tahun 2022 iaitu Eksesais KAKADU 2022 (KA22) yang bermula pada 12 September hingga 24 September 2022 di Darwin, Australia.

Ini adalah selepas penyertaan Eksesais Rim of the Pacific (RIMPAC) 2022 di Hawaii, Amerika Syarikat, Ogos lalu oleh kapal jenis Korvet, iaitu Kapal Diraja (KD) LEKIR, tetapi kali ini kapal jenis Frigat, KD LEKIU ditugaskan menyertai KA22 bagi mewakili Malaysia.

Penyertaan KD LEKIU dalam Eksesais KAKADU 2022 merupakan penyertaan kali kedua dan kelima bagi TLDM sejak 2001. KD LEKIU telah memulakan pelayaran dari Tambatan Pangkalan TLDM Lumut pada 23 Ogos dan tiba di Darwin pada 12 September lalu. Sebelum tiba di Darwin, KD LEKIU turut terlibat dalam Eksesais MALINDO JAYA 26/22 di Surabaya, Indonesia. Pelayaran KD LEKIU ke Darwin membuktikan kemampuan TLDM untuk turut serta dalam latihan ketenteraan terbesar Australia yang melibatkan negara-negara rantau Indo-Pasifik.

KD LEKIU berpeluang melaksanakan Refuelling At Sea (RAS) bersama kapal logistik Tentera Laut Diraja Australia, HMAS STALWART sebelum memasuki perairan Darwin.

Pelbagai aktiviti dirancang dalam KA22 yang bukan sahaja melibatkan latihan ketenteraan tetapi turut menekankan aspek kerjasama, kepimpinan dan persahabatan di antara negara yang terlibat melalui aktiviti sukan (KAKADU Shield Ninja Challenge) dan majlis resepsi.

Pada hari ini, KD LEKIU telah terlibat dalam latihan penembakan meriam dan berjaya mengenai sasaran.

“Eksesais Kakadu adalah aktiviti melibatkan tentera laut di peringkat antarabangsa yang bertujuan mengeratkan lagi hubungan antara negara yang mengambil bahagian. Bertemakan ‘Kerjasama (Partnership), Kepimpinan (Leadership), Persahabatan (Friendship)' pada eksesais kali ini, ianya amat penting dalam pelaksanaan eksesais selama 15 hari di laut dan darat.

“Eksesais Kakadu menyediakan peluang yang sangat baik untuk rakan serantau menjalankan aktiviti maritim multinasional merangkumi operasi penguatkuasaan kepada peperangan maritim bertaraf tinggi dalam persekitaran gabungan,” kata Panglima Tentera Laut Australia, Vice Admiral Mark Hammond ketika berucap di Majlis Pembukaan KA22 pada 12 September.

Selain KD LEKIU yang terlibat sebagai aset utama, KA22 turut melibatkan enam orang delegasi daripada TLDM yang diketuai Panglima Armada Barat, Laksamana Madya Datuk Abu Bakar bin Md Ajis, Komander Shahrizan Jaszle binti Jasmin TLDM, dua orang Sea Rider, Leftenan Komander Lavendra a/l Jayamohan TLDM dan Leftenan Komander Shahryzal bin Abu Samah TLDM serta dua orang Exercise Controller (EXCON) iaitu Leftenan Komander Arifazizi bin Azizi TLDM dan Leftenan Komander Mohd Shahril bin Abdul Ghani TLDM.

Pegawai TLDM yang ditugaskan sebagai Sea Rider berperanan bagi memastikan koordinasi siri latihan yang dirancang dapat dilaksanakan dengan baik dan mengikut prosedur yang ditetapkan. Mereka ini ditempatkan di kapal tentera laut negara asing. Sea Rider bertanggungjawab dalam memerhati dan merekodkan prosedur latihan yang dilaksanakan serta membuat laporan sebagai rekod pelaksanaan latihan. Rekod ini akan menjadi rujukan bagi setiap negara yang terlibat dalam menambahbaik prosedur pelaksanaan operasi terutama apabila terdapat keperluan operasi bersama tentera laut asing. Di samping Malaysia, wakil negara Filipina, Fiji, Solomon Island, New Zealand, Samoa dan Kemboja turut diberi peluang sebagai Sea Rider. Penglibatan sebagai Sea Rider dalam eksesais kali ni menunjukkan kepercayaan Tentera Laut Diraja Australia kepada kebolehan Pegawai TLDM dalam memastikan koordinasi siri latihan yang dirancang dapat dilaksanakan dengan baik.

Buat pertama kalinya, dua pegawai TLDM juga telah diberi diberi kepercayaan menjadi EXCON. Sebagai EXCON, mereka perlu berkerjasama dalam Battle Watch yang mana setiap siri latihan diperhatikan termasuk pengurusan logistik, sumber manusia dan pentadbiran eksesais bagi memastikan latihan berjalan dengan lancar. Disamping itu, TLDM turut diberi kepercayaan memikul tanggungjawab sebagai pegawai perhubungan awam bersama Tentera Laut Amerika Syarikat dalam memastikan publisiti eksesais ini sampai kepada khalayak sasaran.

Kehadiran Panglima Armada Barat dalam eksesais ini membuktikan kesungguhan Malaysia dalam mengeratkan hubungan diplomasi pertahanan antara negara-negara yang terlibat. Pertemuan ini juga memberi peluang kepada Malaysia untuk bertukar maklumat semasa berkaitan keselamatan laluan serta industri maritim.

KA22 merupakan eksesais dwi tahunan anjuran Australia diketuai Tentera Laut Diraja Australia dan dibantu Tentera Udara Diraja Australia yang melibatkan negara-negara Indo-Pasifik. Eksesais kali ini melibatkan seramai 3000 peserta, 15 kapal dan lebih daripada 30 pesawat dari 20 buah negara.

Partnership, Leadership and Friendship