LUMUT, 21 September – Latihan Passage Exercise (PASSEX) di antara kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) iaitu KD JEBAT dan kapal Tentera Laut Diraja Kanada, HMCS WINNIPEG telah dilaksanakan di sekitar perairan Selat Melaka pada 20 September 2022.

HMCS WINNIPEG yang merupakan kapal perang Kanada tiba di negara ini pada 14 September 2022 yang lalu, telah berlepas dari Pelabuhan Klang semalam selepas menamatkan program lawatan muhibahnya disamping meraikan sambutan ulang tahun hubungan diplomatik ke-65 tahun di antara kedua-dua negara.

PASSEX merupakan salah satu inisiatif pihak TLDM dan Tentera Laut Diraja Kanada bagi mengeratkan hubungan diplomatik kedua-dua buah negara serta meningkatkan keupayaan kebolehoperasian bersama.

Bagi memenuhi objektif latihan, beberapa evolusi telah direalisasikan merangkumi latihan Manuvra Taktis, Replenishment at Sea Approach (RASAP) dan Komunikasi sebelum diakhiri dengan Sail Past and Breakaway oleh HMCS WINNIPEG di lambung kiri KD JEBAT.

Selain itu, pesawat fennec TLDM juga turut terlibat dalam latihan ini sebagai aset sokongan bagi melaksanakan penggambaran dari udara. KD JEBAT juga telah berpeluang untuk melaksanakan latihan dalaman bagi meningkatkan kompetensi warganya melalui latihan Mengawal Kebanjiran dan Melawan Api (MKMA) dan Surface Tactical Firing.

Kejayaan latihan ini membuktikan komitmen yang jitu di antara kedua-dua belah pihak iaitu KD JEBAT dan HMCS WINNIPEG dalam mewujudkan hubungan dua hala yang strategik serta keupayaan kebolehoperasian aset TLDM bersama angkatan laut sahabat disamping memperkasakan hubungan diplomasi pertahanan kedua-dua buah negara. Bravo Zulu!

Sumber : Pejabat Komunikasi Strategik MPAB
Artikel   : Lt Kdr Mohammad Firdaus bin Moridon TLDM
Foto      : Pejabat Komunikasi Strategik MPAB