Pegawai Kanan TLDM bersama Pesuruhjaya Tinggi Kanada dan Pegawai Memerintah
HMCS Winnipeg sebelum kapal belayar keluar.

PULAU INDAH, 20 Sep - Kapal frigat Tentera Laut Diraja Kanada (TLDK) HMCS Winnipeg (FFH 338) telah menamatkan lawatan operasi selama tujuh hari ini.

Kapal itu telah tiba di Pelabuhan Klang pada 14 September lepas dengan disambut Pesuruhjaya Tinggi Kanada ke Malaysia dan pegawai kanan TLDM yang diketuai oleh Kepten Shahris Faisal bin Abdullah TLDM, Pengarah Strategi dan Polisi, Markas Tentera Laut.

HMCS Winnipeg adalah kapal frigat kelas Halifax dan diketuai Commander Annick Fortin sebagai Pegawai Memerintah dengan kekuatan seramai 250 orang. Selesai penugasan di Eksesais Rim of the Pacific (RIMPAC) 2022, kapal telah meneruskan pelayaran ke Asia Tenggara dalam Operasi PROJECTION.

Ini adalah lawatan kedua HMCS Winnipeg ke Malaysia, kapal itu tiba buat kali pertama pada tahun 2017. Lawatan kali ini juga signifikan dengan sambutan 65 tahun hubungan diplomatik antara Malaysia dan Kanada.

Setiba di Pelabuhan Klang, Commander Fortin bersama delegasi telah membuat kunjungan hormat ke atas Ketua Pengarah Hidrografi, Laksamana Muda Datuk Hanafiah di Pusat Hidrografi Nasional. Kapal juga telah mengadakan majlis resepsi yang turut dihadiri warga TLDM.

Selain itu, warga HMCS Winnipeg telah melaksanakan aktiviti jiwa murni di Pusat Komuniti Mah Meri bersama ahli komuniti setempat dan juga melawat ke Sunway International School. Pegawai Memerintah bersama delegasi termasuk Juragan kapal Chief Petty Officer 1st Class Sue Frisby telah berkongsi pengalaman bersama lebih kurang 500 pelajar tentang bekerja di dalam bidang yang didominasi lelaki.

“Lawatan HMCS Winnipeg ini menyokong usaha Kanada dalam hubungan diplomatik dan pertahanan di rantau Indo-Pasifik serta menonjolkan hubungan persahabatan yang berpanjangan antara Kanada dan Malaysia,” kata Pesuruhjaya Tinggi Kanada, Wayne Robson ketika sidang media sebelum kapal bertolak dari Pelabuhan Klang.

“Sebagai kapal TLDK yang pertama melawat Malaysia sejak 2017, kami amat menghargai sokongan yang diberikan Tentera Laut Diraja Malaysia dan gembira kerana tahun ini adalah ulang tahun ke-65 hubungan diplomatik antara Kanada dan Malaysia.

“Ini adalah persinggahan kami yang ketiga dalam Operasi PROJECTION 2022 dan anak-anak kapal telah menjadi sukarelawan di sebuah sekolah tempatan dan menyertai aktiviti jiwa murni di Pusat Komuniti Mah Meri. Mereka juga berkesempatan melawat dan menikmati makanan tempatan serta menerima layanan yang baik,” kata Commander Annick Fortin.

"Kami sentiasa berpegang kepada cogan kata kapal iaitu “One with the strength of many” yang menunjukkan kesediaan HMCS Winnipeg untuk mendukung komitmen Kanada ke arah keamanan dan keselamatan global, dan mengukuhkan hubungan dengan sekutu dan rakan kongsi Kanada," tambahnya lagi.

Artikel : Lt Norzuhaira Ruhanie PSSTLDM
Foto    : TLDM dan HMCS Winnipeg