KOTA KINABALU, 23 Sep – Markas Pemerintahan Kapal Selam atau MPKS sekali lagi telah melakar sejarah apabila berjaya mengekalkan pencapaian penarafan 5 bintang dalam Audit Kesiapsiagaan MPKS Tahun 2022 (AK MPKS 22) yang telah dilaksanakan mulai 19 hingga 23 Sep 22. Yang Berbahagia Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Datuk Abdul Rahman bin Hj Ayob selaku Ketua Audit telah menyempurnakan upacara perbarisan dan penutup AK MPKS 22.

Pucuk pimpinan tertinggi MPKS yang diterajui oleh Panglima Angkatan Kapal Selam, Laksamana Pertama Mohd Razib bin Tahir dengan cemerlang berjaya memimpin dan mengemudi markas ini sehingga berjaya meletakkan imej warga, aset, dan sistem pengurusan MPKS berada di tahap membanggakan. AK MPKS 22 melibatkan seramai 172 orang warga markas yang terdiri daripada 34 pegawai, 122 Lain-Lain Pangkat, dan 16 staf awam. Walaupun jumlah kekuatan ini kurang daripada kekuatan sebenar, namun atas komitmen dan Nilai Teras TLDM yang ada di dalam diri warganya, MPKS terus berjaya mengekalkan pencapaian penarafan 5 bintang di dalam Audit Kesiapsiagaan semenjak tahun 2013.

Bahagian Inspektorat Jeneral Markas Tentera Laut telah membangunkan konsep baharu audit kesiapsiagaan yang bertujuan untuk menilai tahap kesiapsiagaan secara lebih telus dan menyeluruh merangkumi aspek tugas teras dan pengurusan MPKS yang terbahagi kepada 9 komponen. Bahagian ini diketuai oleh Laksamana Pertama Mohd Fadzli Kamal bin Mohd Mohaldin, Inspektor Jeneral, Bahagian Inspektorat Jeneral Markas Tentera Laut, yang juga selaku Timbalan Ketua Audit AK MPKS 22.

AK MPKS 22 dimulakan dengan sesi taklimat pembukaan audit meliputi empat skop utama iaitu organisasi, prestasi, cabaran, dan hala tuju MPKS. Penilaian keselamatan dan evolusi kecemasan turut dijalankan dan diambil tindakan yang berkesan oleh warga MPKS. Atas keprihatinan pengurusan tertinggi MPKS, serta komitmen dan kesungguhan warga MPKS juga, markas turut memperolehi keputusan pencapaian yang cemerlang ketika lawatan pemeriksaan audit serta acara perbarisan.

Tahniah kepada Panglima Angkatan Kapal Selam dan warga MPKS di atas pencapaian yang membanggakan ini. Semoga pencapaian cemerlang ini berjaya menaikkan imej MPKS dan TLDM.