LUMUT, 1 Okt - Pasukan Khas Laut (PASKAL) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) hari ini menyambut ulang tahun penubuhannya yang ke-40. Sambutan yang diadakan di KD PANGLIMA GARANG (KDPG), Pangkalan TLDM Lumut telah disempurnakan oleh Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza bin Mohd Sany.

Tema sambutan tahun ini adalah ‘Mengenang PASKAL 40 Tahun’ dan pelancaran sebuah Coffee Table Book menjadi salah satu acara sambutan hari ini. Buku tersebut telah berjaya dihasilkan oleh Markas PASKAL dengan bantuan dan perkongsian maklumat serta sumber daripada wira-wira PASKAL. Buku tersebut merupakan kompilasi sejarah dan pengalaman sebenar warga PASKAL yang menceritakan mengenai pahit getir serta pengalaman sebenar mereka mengalas tugas dan tanggungjawab demi memastikan insignia trimedia serta semangat PASKAL yang menjadikan mereka ‘Sentiasa Yang Terbaik’ dijadikan pegangan dan moto mereka.

Sejarah PASKAL bermula pada tahun 1977 apabila Leftenan Sutarji bin Kasmin TLDM bersama tiga orang anggota TLDM telah dihantar untuk mengikuti Kursus Komando Pasukan Katak (KOPASKA) yang dianjurkan di Pusat Latihan Tentera Nasional Indonesia Angkatan Laut, Indonesia diikuti Leftenan Madya Nasaruddin bin Othman TLDM pada siri berikutnya.

Bertitik tolak daripada semangat dan kecemerlangan yang ditonjolkan mereka di KOPASKA, TLDM meneruskan usaha dengan menghantar kumpulan seramai 29 orang ke Surabaya, Indonesia untuk mengikuti Kursus Komando Hutan Marinir (KOHUT).

Kecemerlangan yang ditunjukkan di Surabaya membawa kepada TLDM mengambil inisiatif untuk menubuhkan dan melatih sendiri pasukan khas ini dengan menjadikan mereka sebagai jurulatih pertama TLDM yang membentuk anggota baharu di KD PELANDOK Woodlands, Singapura. Setelah menjalani latihan selama tiga bulan, kesemua mereka telah ditugaskan di Pejabat Keselamatan Dalam yang bertanggungjawab menjaga keselamatan fizikal Pangkalan TLDM Woodlands, Singapura.

Tanggal 1 Oktober 1982 merupakan detik bersejarah bagi seluruh warga PASKAL apabila pasukan khas TLDM ini telah diiktiraf dan ditubuhkan secara rasminya. Pada tahun 1984, Lt Kdr Sutarji bin Kasmin TLDM telah dilantik sebagai Pegawai Memerintah Pertama PASKAL yang berpangkalan di Pangkalan TLDM Lumut.

Acara sambutan hari ini bermula dengan persembahan pantomim tentang sejarah penubuhan PASKAL serta evolusi perubahan PASKAL masa kini. Aktiviti terjun bebas oleh anggota PASKAL dari ketinggian 4000 kaki menggunakan pesawat Fennec pula menjadi gimik pelancaran Coffee Table Book.

Demonstrasi keupayaan PASKAL turut dipertontonkan yang mempamerkan pembangunan latihan yang dinamik dan peralatan terkini. Antara aksi demontrasi termasuk keupayaan penyelaman bersama peralatan Underwater Delivery Vehicle (UDV) serta penembakan dinamik senjata kecil menggunakan senjata baharu dan alat bantu sasaran terkini. Acara sambutan kali ini telah diakhiri dengan solat zohor berjemaah serta bacaan yassin dan tahlil.

Turut hadir, Ketua Setiausaha KEMENTAH, Timbalan Panglima Tentera Laut, Panglima PASKAL Laksamana Pertama Dato’ Hj Mohd Redzuan bin Hj Talib, ahli Jawatankuasa Laksamana TLDM dan Presiden Veteran PASKAL TLDM, Laksamana Madya (B) Dato’ Nasaruddin bin Othman serta ahli Veteran PASKAL TLDM.