LUMUT, 3 Okt – Markas Pemerintahan Armada (MPA) Barat melalui Bahagian Kesiagaan dan Prestasi (N10) telah berjaya melaksanakan Audit Kesiapsiagaan (AK) bagi Stesen Komunikasi TLDM (SKTLDM) Parit mulai 19 hingga 23 Sep 22.

Penutup tirai AK SKTLDM Parit telah disempurnakan oleh Asisten Ketua Staf (AKS) Kesiagaan, Kepten Mohd Adzam bin Omar TLDM, dengan pencapaian cemerlang yang berjaya memperolehi markah keseluruhan sebanyak 90.5% sekaligus meraih penarafan 5 bintang. Ini merupakan pencapaian ulung yang telah berjaya dilakar oleh SKTLDM Parit hasil daripada persiapan rapi oleh warganya dalam menghadapi audit tersebut.

Audit dimulakan dengan perlaksanaan taklimat pembukaan audit oleh bahagian N10 MPA Barat, disusuli dengan taklimat Kesiagaan oleh pihak SKTLDM Parit. Seterusnya Audit diteruskan dengan perbarisan dan lawatan pemeriksaan oleh AKS Kesiagaan MPA Barat.

Pemeriksaan Dokumentasi turut dilaksanakan dengan merangkumi pematuhan terhadap tugas teras unit sebagai Stesen Pemancar utama di dalam TLDM. Kesiagaan unit dan kepekaan warga diuji dengan perlaksanaan audit terhadap evolusi kecemasan serta injek kebakaran di sekitar kawasan SKTLDM Parit.

Sekalung tahniah diucapkan kepada seluruh warga SKTLDM Parit atas kejayaan dan semangat yang ditunjukkan sepanjang AK berlangsung. Semoga kejayaan ini memberi suntikan semangat kepada warga SKTLDM Parit dalam mengekalkan prestasi dan mutu kerja yang berkualiti serta terus komited melaksanakan tanggungjawab yang telah diamanahkan. Bravo Zulu!

Sumber : Pejabat Komunikasi Strategik MPAB
Artikel   : Lt Kdr Mohd Adzmirul Azrie bin Che Azmi TLDM
Foto      : Pejabat Komunikasi Strategik MPAB