LUMUT, 7 Okt – Bersempena Hari Sukan Negara, dua aktiviti telah berlangsung di perkarangan Kompleks Mutiara Armada, Pangkalan TLDM Lumut iaitu Navy People Road Relay Race 2022 anjuran Markas Udara TLDM dan senamrobik anjuran Markas Pemerintahan Pendidikan dan Latihan (MPPL) TLDM.

Tujuh markas di dalam Pangkalan TLDM Lumut iaitu Markas Pemerintahan Pendidikan dan Latihan TLDM, Markas Pemerintahan Armada Barat (MPAB), Markas Pangkalan TLDM Lumut (MKPL), Markas Logistik Barat, Markas Udara TLDM, Markas Selam dan Peperangan Periuk Api dan Markas Pemerintahan Pasukan Khas Laut telah terlibat dalam menjayakan program ini.

Program ini telah dirasmikan oleh YBhg Laksamana Muda Dato’ Anuar bin Mohamed, Panglima Pendidikan dan Latihan TLDM. Program dimulakan dengan taklimat pertandingan kepada semua peserta larian dan diteruskan dengan aktiviti senamrobik melibatkan seluruh warga yang hadir serta dikoordinasikan oleh gabungan Jurulatih Jasmani dari setiap markas. Selesai aktiviti senamrobik, warga pangkalan TLDM Lumut telah disajikan dengan gimik pembukaan acara larian oleh pesawat Fennec dari SKUADRON 502 dan juga tim penggempur PASKAL. Acara ini merupakan simbolik pelepasan pelari-pelari Navy People Road Relay Race 2022. 12 pasukan dari setiap markas yang terdiri dari pegawai dan anggota telah mendaftar untuk penyertaan larian sejauh 1.07 kilometer ini.

Acara Navy People Road Relay Race 2022 anjuran Markas Udara TLDM ini telah diilhamkan oleh Persatuan Sukan Lasak TLDM yang dikelolakan oleh Pengerusi Persatuan Sukan Lasak TLDM, Komander Mohamad Sham bin Saimon TLDM. Sebagai tuan rumah dan penaung program, YBhg Laksamana Pertama Ahmad Shafiruddin bin Abu Bakar, Panglima Udara TLDM berperanan penting dalam program yang menjadi acara Hari Sukan Negara di peringkat Pangkalan TLDM Lumut di mana beliau sendiri turut mengambil bahagian dalam acara larian ini.

Seterusnya, program dimeriahkan lagi dengan pertunjukan permainan Kabaddi dari Persatuan Kabaddi TLDM. Kehangatan program semakin memuncak dengan acara cabutan bertuah yang dibuat secara terbuka kepada semua yang hadir. Cabutan bertuah ini telah dilaksanakan dengan kaedah digital menggunakan QR Code untuk pendaftaran dan hanya menekan butang draw pada tablet untuk membuat cabutan. Hadiah cabutan bertuah berupa hamper telah disumbangkan oleh pihak PERNAMA Lumut disamping menyediakan Food Truck minuman Milo kepada semua pengunjung dan minuman 100 Plus untuk para peserta.

Pasukan A dari Markas Pemerintahan Pasukan Khas Laut dinobatkan johan bagi pertandingan ini diikuti Pasukan B dari MPPL di tempat kedua dan pasukan dari Markas Pangkalan TLDM Lumut di tempat ketiga. Program ini telah dilaksanakan dengan meriah dan jayanya atas kerjasama dan sokongan yang diberikan oleh The Navy People.

Program berkonsepkan ”Low Cost, High Impact” ini juga dilihat mampu mencetuskan semangat kesukanan dan berpasukan yang tinggi dikalangan warga markas yang terlibat. Setinggi-tinggi penghargaan dizahirkan kepada semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung sepanjang program ini dijalankan.

Artikel : Lt Hanis Asyraf bin Mohd Akhiar TLDM