LUMUT, 8 Okt – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Laut Republik Vietnam terus memperkasakan kerjasama pertahanan melalui lawatan operasi Kapal Layar 286 – LE QUY DON pada 5 hingga 8 Oktober 22 di Pangkalan TLDM Lumut. Delegasi lawatan tersebut telah diketuai oleh Timbalan Pengarah Akademi Tentera Laut Republik Vietnam, Senior Captain Huynh Vinh Tuyen.

Kapal Layar 286 – LE QUY DON tiba di Tambatan Pangkalan Lumut pada 5 Oktober dan disambut oleh Asisten Ketua Staf (AKS) Operasi dan pegawai Markas Pemerintahan Armada Barat serta Pegawai Kanan Armada. Sambutan ketibaan kapal layar tersebut turut dimeriahkan dengan kumpulan brass band dari KD PELANDOK.

Delegasi kemudiannya membuat Kunjungan Hormat ke atas Timbalan Panglima Armada Barat, YBhg Laksamana Muda Farizal Myeor yang bertujuan mengukuhkan lagi ikatan kerjasama antara angkatan laut negara sahabat. Walaupun pertemuan tersebut agak singkat namun ternyata digunakan dengan sebaik dengan bertukar pendapat serta pengalaman. Kunjungan diakhiri dengan pertukaran cenderahati antara kedua-dua buah negara.

Bagi memupuk semangat juang dan setiakawan disamping mengeratkan hubungan kedua-dua angkatan laut, satu Pertandingan Persahabatan Bola Tampar turut dilaksanakan di Stadium Tertutup Pangkalan TLDM. Delegasi juga turut melaksankan Kunjungan Hormat Ke atas Panglima Pendidikan dan Latihan, YBhg Laksamana Muda Dato’ Anuar bin Mohamad dan berpeluang melawat Penyelaku Anjungan WASPADA di KD PELANDOK bagi melihat pengoperasi Latihan Praktikal Navigasi.

Selain itu, majlis Request Pleasure of Your Company (RPC) telah dianjurkan di Wisma Samudera bagi memperkasakan esprit de corps serta medium interaksi di antara pegawai-pegawai dari dua negara. The Navy People turut diberi peluang melawat Kapal Layar 286 – LE QUY DON bagi merasai sendiri pengalaman semasa di atas kapal layar tersebut dan pada sebelah malamnya pula sebuah Majlis Resepsi telah diadakan di kapal tersebut bagi meraikan warga TLDM. Selain disajikan dengan pelbagai hidangan menarik, majlis turut dimeriahkan dengan persembahan dari TLRV dan berjaya memupuk kemesraan dan persahabatan yang erat bagi kedua-dua angkatan laut.

Lawatan tersebut merupakan sebahagian daripada aktiviti menjelang Ulang Tahun Ke-50 hubungan diplomatik Vietnam-Malaysia (1973-2023). Ternyata lawatan operasi tersebut selain menjadi medan mengukuhkan persahabatan dua hala, malah dapat meningkatkan kerjasama antara tentera laut negara-negara ASEAN bagi menjaga keselamatan dan keamanan maritim di rantau ini.

Sebagai maklumat tambahan Kapal Layar 286 – LE QUY DON telah ditauliahkan pada tahun 2016 dan diletakkan di bawah pentadbiran Akademi Tentera Laut Republik Vietnam. Merupakan sebuah kapal layar moden pertama milik TLRV dan berperanan untuk melatih kadet selain turut ditugaskan untuk melaksanakan diplomasi pertahanan tentera laut negara tersebut.

Sumber : Bahagian Komunikasi Strategik Markas Pemerintahan Armada Barat
Artikel   : Lt Asyraf bin Ismail TLDM
Foto      : Bahagian Komunikasi Strategik Markas Pemerintahan Armada Barat