KUALA KANGSAR, 11 Mac - Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran dan Pingat sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-66 DYMM Seri Paduka Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah telah berlangsung di Balairong Seri Istana Iskandariah, hari ini.

Lima warga TLDM antara penerima anugerah darjah kebesaran dalam istiadat berkenaan dengan didahului Marsyal Provos TLDM Kepten Roslee bin Mohamad Isa TLDM, dianugerahkan Darjah Paduka Cura Si Manja Kini (PCM). Seterusnya Darjah Paduka Mahkota Perak (PMP) dianugerahkan kepada Kepten Rozaini bin Abu Hassan TLDM, Darjah Ahli Cura Si Manja Kini (ACM) dianugerahkan kepada Komander Shamsuddin bin Saidina Abu Bakar TLDM, Darjah Ahli Mahkota Perak (AMP) dianugerahkan kepada Leftenan Komander Nazrul Shaharin bin Osman TLDM dan Pingat Pekerti Terpilih (PPT) dianugerahkan kepada PW I TMK Hakimi bin Hasnan.

Pada istiadat berkenaan, Sultan Nazrin berkenan menganugerahkan darjah kebesaran negeri kepada 181 penerima yang merupakan sebahagian daripada 212 penerima yang diumumkan pada 3 Nov 2022.

Penganugerahan hari ini melibatkan lima penerima PCM, PMP, ACM, AMP, PPT, Pingat Jasa Kebaktian dan Pingat Lama Perkhidmatan.
Tahniah diucapkan kepada semua penerima pingat.