KUALA LUMPUR, 15 Mac - Panglima Tentara Nasional Indonesia (TNI), Yang Terhormat Laksamana TNI Yudo Margono memulakan lawatan rasminya ke Malaysia dengan Kunjungan Hormat beliau kepada Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Dato' Sri Hj. Affendi bin Buang TUDM di Wisma Pertahanan, semalam.

Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Abdul Rahman bin Ayob bersama Jeneral Tan Sri Affendi serta Panglima-Panglima Perkhidmatan yang lain telah menyambut ketibaan Panglima Tentara Nasional Indonesia dan seterusnya diberikan penghormatan memeriksa Kawalan Kehormatan Utama (KKU) dari Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (1 RAMD) di Dataran Wisma Pertahanan.
Laksamana TNI Yudo Margono kemudian diperkenalkan kepada Pegawai-pegawai Kanan ATM sebelum dibawa ke Ruang Perkasa bagi sesi Kunjungan Hormat Rasmi.

Kunjungan Hormat berkenaan turut menyaksikan kedua-dua Panglima Angkatan Tentera menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) bagi Eksesais Latihan Gabungan Bersama Malaysia Indonesia Darat Samudera Angkasa (LATGABMA MALINDO DARSASA) terutama aspek latihan menguji terma terkandung dalam Prosedur Tetap (PROTAP) 16 berkaitan Operasi Menangani Keganasan dan PROTAP 18 berkaitan Prosedur, Taktik dan Teknik Menangani Keganasan.

LATGABMA MALINDO DARSASA merupakan eksesais yang dilaksanakan 3 tahun sekali dan dianjurkan secara bergilir-gilir antara ATM dan TNI. Eksesais berkenaan bertujuan melatih Combined Joint Task Force (CJTF) yang dibentuk dalam penyediaan menangani sebarang kemungkinan di kedua-dua buah negara di samping meningkatkan kerjasama, persefahaman dan profesionalisme antara kedua – dua ketumbukan ATM dan TNI beserta komponen bantuan.