PANJI-PANJI KD DUYONG

Sejarah penubuhan KD DUYONG telah bermula dengan penubuhan sebuah unit kecil yang hanya dilengkapi peralatan menyelam asas pada tahun 1965 di Pangkalan woodlands, Singapura. Sekolah Menyelam telah ditubuhkan di Pusat Latihan TLDM KD PELANDOK pada tahun 1977 dan berpindah ke Pangkalan TLDM Lumut pada tahun 1980. pentadbiran Sekolah Menyelam terus berada di bawah Kapal KD PELANDOK manakala Pasukan Selam telah diletakan di bawah pentadbiran Markas Armada TLDM. Kedua-dua organisasi ini telah disatukan melalui pembentukan Pusat Selam TLDM pada Oktober 1998. Pada Mei 2005, Pusat Selam TLDM telah ditauliahkan dengan nama KD DUYONG sempena nama asal Kapal 'Diving Tender' KD DUYONG yang dilucutkan tauliah pada tahun 1999. Majlis pentauliahan telah disempurnakan oleh Panglima Angkatan Tentera, Laksamana Tan Sri Dato' Sri Mohd Anwar bin Hj Mohd Nor.

KD DUYONG adalah pasukan elit TLDM yang bertanggungjawab melaksanakan semua aktiviti berkaitan dengan penyelaman, kejuruteraan bawah air, salvaj, Explosive Ordnance Disposal (EOD), Improsived Explosive Device Disposal (IEDD), demolisi bawah air dan pemusnahan periuk api.

KD DUYONG telah terlibat secara aktif dalam pelbagai usaha mencari dan menyelamat mangsa di seluruh negara selain terlibat dalam banyak misi Humanitarian Assistance and Disaster Relief (HADR). KD DUYONG juga telah terlibat melatih ramai anggota agensi keselamatan negara seperti Pasukan Khas Laut, Polis DiRaja Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia. Tidak terkecuali KD DUYONG juga telah diiktiraf sebagai institusi antarabangsa dengan kejayaan gemilang melatih ramai anggota dan pegawai tentera dari seluruh pelusuk dunia dari aspek penyelaman. Sejajar dengan sumbangan bakti yang telah dicurahkan kepada negara, Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj telah berkenan untuk menganugerahkan Panji-Panji kepada KD DUYONG pada 27 April 2014.