PANJI-PANJI KD MALAYA

Sejak ditubuhkan, KD MALAYA telah mencatat banyak sejarah TLDM dan antaranya Penganugerahan Panji-Panji Diraja kepada TLDM oleh DYMM Seri Paduka Baginda Tuanku Syed Putra Ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail pada 12 Mac 1966. Panji-Panji ini seterusnya telah ditukar baru pada 1 Julai 1973, semasa meraikan Ulang Tahun Hari TLDM oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agung Tuanku Abdul Halim Muazam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah. Panji-Panji tersebut telah disimpan di KD MALAYA, Woodlands sehingga 8 September 1984 dan telah dibawa pulang ke tanah air dan diarak dengan penuh tradisi Tentera Laut pada 9 Mac September 1984.

Sejak penubuhan pada tahun 1949 sehingga kini, dalam aspek penatdbiran, perkhidmatan dan penyelenggaraan Pangkalan TLDM Lumut, sesungguhnya KD MALAYA menunjukkan prestasi, jasa dan bakti yang cemerlang. Sejak ditauliahkan semula pada 1 Februari 1984 di Lumut, KD MALAYA telah melaksanakan tugasnya sebagai Pusat Pentadbiran Pangkalan dengan berkesan dan boleh dibanggakan. Justeru, KD MALAYA dianugerahkan Panji-Panji Diraja.

Penganugerahan Panji-Panji telah disempurnakan oleh DYMM Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj Ibni Sultan Hishamudin Alam Shah Al-Haj, selaku Kepten Yang Dipertua TLDM, di KD MALAYA pada 27 Apri 1998 sempena Ulang Tahun Hari Tentera Laut DIraja Malaysia ke-64.