PANJI-PANJI KD PANGLIMA HITAM

KD PANGLIMA HITAM dahulunya dikenali sebagai Pasukan Khas Laut (PASKAL) Unit 1 yang berpangkalan di Pangkalan TLDM Lumut. Sejarah penubuhan PASKAL bermula di Pangkalan TLDM Woodlands, Singapura. Di awal penubuhannya, kumpulan pertama daripada unit ini telah dihantar ke Surabaya, Indonesia, Royal Marine Commando United Kingdom dan Basic Underwater demolition (BUD) SEAL di Amerika Syarikat serta Pusat Latihan Peperangan Khas Sungai Udang, Melaka. Pasukan ini telah berpindah ke Pangkalan TLDM Lumut pada 1981 dan telah ditubuhkan dengan rasminya pada 1 Oktober 1982. Melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN) No.18 Kerajaan Malaysia telah memberi mandat kepada PASKAL sebagai pasukan penggempur lawan keganasan maritim. 

Pasukan khas Laut telah bertukar nama kepada KD PANGLIMA HITAM dan telah ditauliahkan pada 15 Apr 2009 oleh Panglima Tentera Laut YBhg Laksamana Dato’ Sri Abdul Aziz bin Hj Jaafar. Pemilihan nama KD PANGLIMA HITAM diilhamkan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj selaku Kepten Yang di-Pertua TLDM. Berdasarkan sejarah bahawa setiap Sultan mempunyai panglima yang sangat handal dan mahir di dalam strategi pertahanan. Beliau juga memiliki kehandalan dalam ilmu muslihat pertempuran. Panglima yang digelar Panglima Hitam ini juga merupakan pahlawan yang taat setia di dalam mempertahankan kedaulatan dan keselamatan Baginta Sultan serta kerajaan. Kepahlawanan dan kehandalan Panglima Hitam ini sangat sinonim dengan kehebatan yang dimiliki oleh warga PASKAL. 

Penganugerahan Panji-Panji kepada KD PANGLIMA HITAM oleh DYMM Sultan Selangor pada 27 April 2009 adalah berdasarkan jasa-jasa dan pengorbanan yang telah disumbangkan oleh pasukan di dalam melaksanakan operasi khas sejak awal penubuhannya. Penglibatan pegawai dan anggota KD PANGLIMA HITAM tidak terhad di dalam negara sahaja, malah di peringkat antarabangsa merangkumi sebagai pasukan pengaman dan pemerhati di bawah panji-panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Berstau (PBB) serta operasi khas di Maldives pada 1987, Misi UNUSOM II di Somalia pada 1995, penghantaran pendatang tanpa izin ke Vietnam pada 1996, UNIVEM di Angola, operasi di Timur Leste dan UNIFIL di Lubnan 2007 hingga sekarang.