PELAN STRATEGIK

Pelaksanaan pengurusan strategik yang merangkumi aspek perancangan, pelaksanaan, penilaian dan penambahbaikan terhadap pencapaian hala tuju yang ditetapkan merupakan suatu mekanisme bagi mencapai misi dan visi TLDM. Justeru, sistem ini perlu dibangun dan diurus dengan cekap serta berkesan agar keberhasilan yang dihasratkan oleh Kerajaan dan rakyat Malaysia dapat dicapai.

Demi memastikan pengurusan strategik yang bersistematik, cekap dan efisien, TLDM telah memperkenalkan Sistem Pengurusan Strategik (SPS) TLDM. SPS TLDM ini telah dibangunkan pada tahun 2003 menggunakan metodologi Balanced Scorecard (BSC) yang diperkenalkan oleh Norton and Kaplan. Pelan ini telah melalui beberapa pengubahsuaian dari tahun ke tahun di mana penambahbaikan berterusan dilaksanakan berpandukan kepada keperluan semasa. Sehingga kini, Peta dan Pelan Strategik TLDM telah diubah sebanyak 9 kali sejak ianya diperkenalkan. Kajian semula yang terakhir telah dilakukan pada tahun 2020 bagi melata dan menjajarkan dengan Sistem Pengurusan Strategik (SPS) ATM. Pelan Strategik TLDM sekali lagi ditambah baik dan dijenamakan semula dengan nama Pelan Strategik TLDM 2021 – 2025 atau PS TLDM 2125.

Setiap warga TLDM mempunyai peranan dan tugas masing-masing yang perlu dilaksanakan bagi memastikan strategi yang telah ditetapkan dapat dicapai serta memastikan prestasi TLDM sentiasa berada pada tahap yang tertinggi.