KD SRI PINANG

 

KD SRI PINANG merupakan salah satu sejarah tertua Pasukan Simpanan Tentera Laut di Malaysia. KD SRI PINANG ditubuhkan pada Oktober 1938 sebagai Strait Settlement Naval Volunteer Reserve Pulau Pinang dan menjadi Pasukan Simpanan tentera laut kedua di Tanah Melayu selepas SSNVR Singapura(1934). Tidak lama kemudian, Pasukan SSNVR Pulau Pinang ditukar nama kepada Malayan Royal Naval Volunteer Reserve (MRNVR) Pulau Pinang. Setelah ditukarkan nama kepada MRNVR Pulau Pinang, pasukan ini telah memperolehi Kapal latihan HMS Panji untuk tujuan meningkatkan tahap kesiap-siagaan anggota menghadapi ketegangan dan bahang perang dunia yang mula dirasakan.

Pada tahun 1939, Pasukan MNRVR Singapura dan MNRVR Pulau Pinang telah dikerah kepada penugasan sepenuh masa bagi menghadapi serangan tentera Jepun. Semangat juang dan keberanian yang tinggi telah ditunjukkan oleh kedua-dua pasukan ini mendorong kerajaan British untuk menubuhkan Pasukan Tentera laut tetap yang dinamakan Royal Navy Malay Section (Malay Navy) di mana kebanyakan anggota berasal daripada kedua-dua unit ini.

MRNVR Pulau Pinang kembali beroperasi pada tahun 1952 dan telah dijadikan ibu pejabat “Malaya Naval Reserve” dari awal tahun 1952-1957.

Setelah tanah melayu merdeka, Kerajaan tanah melayu telah berhasrat untuk mengambil-alih Tentera laut Diraja Malaya pada 1958. Upacara penaikkan bendera baharu bagi menggantikan Bendera Royal navy milik British telah berlangsung pada 1 Julai 1958, di ibu pejabat Pasukan Simpanan TLDM di Jalan Ampang Kuala Lumpur, dan dalam masa sama turut berlangsung di MRNVR PINANG yang merupakan satu-satunya unit Tentera Laut di Tanah Melayu pada masa tersebut.

Bangunan asal KD SRI PINANG masih berdiri teguh pada harini dan telah ditukarkan menjadi unit Resident Naval Officer Penang (RNO PENANG) yang digunakan oleh TLDM pada harini sebagai unit Pegawai Wakil Tentera Laut di Pulau Pinang, manakala KD SRI PINANG pula telah dipindahkan ke tapak baru di Jalan Akuarium, Gelugor.