KD SRI KLANG

 

Pada asalnya merupakan ibu pejabat Pasukan Simpanan Tentera Laut Diraja Malaya yang kemudiannya menjadi sebuah unit dan diberikan nama KD SRI KLANG. Pada awalnya bertapak di Masjid Negara Kuala Lumpur pada tahun 1954, sebelum berpindah ke Jalan Ampang, Kuala Lumpur pada tahun 1957.

Untuk pengetahuan umum, walaupun pada awalnya bertapak di Masjid Negara Kuala Lumpur ditengah ibukota, penamaan KD SRI KLANG sebenarnya berdasarkan kedudukan unit ini di kawasan Lembah Klang. Malah, unit ini mempunyai sebuah kapalnya sendiri yang berlabuh di kawasan Pelabuhan Klang.

Ditauliahkan pada 2 Disember 1977. Perasmiannya telah dilakukan oleh Panglima Tentera Laut ketika itu Laksamana Muda Dato Mohd Zain Bin Md Salleh. Setelah 20 tahun berada di Jalan Ampang, KD SRI KLANG berpindah pula ke Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

Sejajar dengan penyusunan dan perkembangan TLDM, bangunan baru untuk KD SRI KLANG telah dibina di Pulau Indah, Klang Selangor pada 15 April 2003 dan siap pada 14 Oktober 2005. Gabungan Pusat Hidrografi Nasional (PHN) dan unit PSSTLDM ini telah dirasmikan oleh Sultan Selangor DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj pada 19 Disember 2006 dengan nama KD Sultan Abdul Aziz Shah. Pangkalan ini mempunyai keperluan yang bersesuaian dengan kehendak TLDM serta dilengkapi dengan kemudahan yang serba moden dan berketrampilan, setaraf dengan negara membangun lain.