KUALA LUMPUR, 27 Jan - Laksamana Madya Datuk Sabri bin Zali secara rasmi mengambil alih tugas sebagai Timbalan Panglima Tentera Laut daripada Laksamana Madya Datuk Abdul Rahman bin Ayob pagi tadi.

Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza bin Mohd Sany telah menyaksikan serah terima tugas Timbalan Panglima Tentera Laut tersebut bersama ahli Jawatankuasa Laksamana Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan warga Navy People sekitar Lembah Klang dalam majlis yang diadakan di KD SRI GOMBAK.

Laksamana Madya Datuk Sabri sebelum ini telah memegang jawatan Panglima Armada Timur sejak 24 Disember 2020. Beliau dilahirkan pada 4 Mac 1967 di Rawang, Selangor dan telah berkhidmat lebih 38 tahun. Laksamana Madya Datuk Sabri telah memasuki TLDM sebagai Pegawai Kadet pada 15 Disember 1984 dan telah dipilih untuk menjalani kursus Midshipman Antarabangsa di Jerman Barat selama tiga tahun sehingga Disember 1987. Beliau telah ditauliahkan pada 21 Disember 1987 setelah kembali dari Jerman.

Antara jawatan penting yang pernah disandang beliau adalah Pegawai Memerintah KD JEBAT merangkap Pegawai Kanan Armada, Asisten Ketua Staf Sumber Manusia di Markas Tentera Laut, Komandan Maktab Pertahanan Angkatan Tentera dan Panglima Wilayah Laut 2.

Terlebih dahulu, Panglima Tentera Laut telah menyempurnakan pemakaian pangkat Pegawai Kanan TLDM dan Pegawai Kehormat PSSTLDM. Panglima Armada Timur, Laksamana Muda Dato’ Pahlawan Hj Muhammad Ruzelme bin Hj Ahmad Fahimy telah dinaikkan pangkat ke Laksamana Madya manakala Asisten Ketua Staf Sumber Manusia Markas Tentera Laut, Laksmana Pertama Baharudin bin Wan Md Nor telah dinaikkan ke pangkat Laksamana Muda. Leftenan Komander Norzamzam bin Minirin TLDM telah dinaikkan ke pangkat Komander TLDM dan Leftenan Mohd Noorfaridzuan bin Adnan TLDM telah dinaikkan ke pangkat Leftenan Komander TLDM. Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Universiti Sains Malaysia, Professor Dr. Azlinda binti Azman pula telah dianugerahkan pangkat Komander Kehormat PSSTLDM.