KUALA LUMPUR, 30 Jan - Laksamana Datuk Abdul Rahman bin Ayob telah memulakan tugas sebagai Panglima Tentera Laut ke-18 dan menyampaikan perutusan ulung beliau di Auditorium Wisma Pertahanan hari ini.

Seramai 350 warga Navy People sekitar Lembah Klang telah menghadiri majlis tersebut yang juga disiarkan secara langsung ke semua markas formasi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang lain.

Turut hadir ke majlis tersebut adalah Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Datuk Sabri bin Zali, Panglima Armada Barat, Laksamana Madya Dato’ Abu Bakar bin Md Ajis, Panglima Armada Timur, Laksamana Madya Dato’ Pahlawan Hj Muhammad Ruzelme bin Hj Ahmad Fahimy dan Presiden Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (PUSPAHANAS), Laksamana Madya Dato’ Zulhelmy bin Ithnain.

Laksamana Datuk Abdul Rahman telah mengambil alih jawatan sebagai Panglima Tentera Laut ke-18 pada 27 Januari daripada Laksamana Tan Sri Mohd Reza bin Mohd Sany. Terdahulu, Laksamana Datuk Abdul Rahman telah menerima kawalan kehormatan utama dengan kekuatan 105 pegawai dan anggota yang diketuai oleh Leftenan Komander Norman bin Ahmad Shaip TLDM. Beliau kemudian mengimbas pas keselamatan sebagai simbolik memulakan tugas.