PETALING JAYA, 25 Okt - TLDM hari ini menerima anugerah berprestij daripada Kementerian Sumber Manusia melalui Majlis Negara bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (MNKKP) sempena Majlis Anugerah MNKKP Negara 2022, iaitu Penerima Anugerah Khas Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan. Penerimaan ini melakar sejarah sebagai pengiktirafan pertama diterima oleh TLDM sejak penubuhan MNKKP pada tahun 1995.

Anugerah Khas ini adalah pengiktirafan tertinggi Negara, diberi kepada individu atau majikan daripada pelbagai sektor industri termasuk awam yang menghasilkan rekod pencapaian cemerlang di dalam pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) sepanjang tahun 2022.

Penyampaian Anugerah Khas ini telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Sumber Manusia, Yang Berhormat Datuk Ts. Mustapha bin Sakmud. Manakala bagi pihak TLDM, Laksamana Muda Dato’ Ir. Ts. Haji Mohd Shaiful Adli Chung mewakili Panglima Tentera Laut telah hadir untuk menerima Anugerah Khas tersebut.

Warga TLDM wajar berbangga dengan pengiktirafan berprestij dan tertinggi Negara yang diterima, justeru perlu dikekalkan manifestasi kecemerlangan dalam aspek pengurusan keselamatan dan kesihatan. Semoga ianya memberi motivasi dan inpirasi kepada warga Navy People untuk terus maju dalam apa jua bidang demi kesiagaan operasi Armada TLDM yang tinggi.

Sumber : Markas Tentera Laut, Bahagian Kejuruteraan
Artikel   : Laksamana Muda Dato’ Ir. Ts. Haji Mohd Shaiful Adli Chung
Foto      : LK PRL Mohd Faisa bin Mamat