


SEMANGAT KORBAN DISEMARAKKAN: ATM DAN MKWK JAYAKAN PROGRAM IBADAH KORBAN DAN AKIKAH 2025
KUALA LUMPUR, 7 Jun — Semangat persaudaraan dan penghayatan syiar Islam disemarakkan menerusi penganjuran Program Ibadah Korban dan Akikah tahunan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Pengurusan Masjid Khalid bin Al-Walid KEMENTAH (MKWK) di Masjid Khalid bin Al-Walid hari ini.
Acara dimulakan dengan Solat Sunat Aidiladha yang diimamkan oleh Imam Besar MKWK, Leftenan Kolonel Hj Mohd Nizam bin Dato’ Hj Termizi Al-Hafiz, diikuti khutbah Hari Raya Aidiladha yang disampaikan oleh Ketua Pengarah Kor Agama Angkatan Tentera, Mejar Jeneral Dato’ Hj Mohd Rashidi bin Bujai.
Perasmian program disempurnakan secara simbolik dengan penyerahan pisau sembelihan oleh Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri (Dr.) Zulhelmy bin Ithnain mewakili Panglima Angkatan Tentera kepada Brigedier Jeneral Haji Mohd Hamzah bin Adam, Timbalan Pengerusi MKWK selaku Ketua Penyembelihan.
Turut memeriahkan program adalah kehadiran wakil NGO My Fund Action, yang diketuai oleh Dr Hj. Mohd Hizul Azri bin Haji Md Noor, pengasas dan penasihat utama badan bukan kerajaan tersebut. Komitmen tinggi My Fund Action dalam aspek kebajikan dan kemanusiaan jelas terserlah dengan sumbangan 150 kotak rezeki kepada warga ATM dan ahli kariah MKWK.
Dengan semangat gotong-royong, proses penyembelihan 30 ekor lembu dan 10 ekor kambing dijalankan lancar di perkarangan masjid dan turut dibantu oleh 30 sukarelawan My Fund Action. Kesemua daging korban dan akikah kemudiannya diagihkan kepada para peserta, warga ATM, dan ahli kariah masjid yang hadir.
Matlamat utama penganjuran di MKWK adalah untuk menyemarakkan semangat dan erti pengorbanan, sekali gus menghayati syiar Islam. Kisah Nabi Ibrahim AS dan puteranya, Nabi Ismail Zabihullah AS, menjadi panduan dan pedoman penting khususnya bagi seluruh warga ATM yang beragama Islam, di samping memupuk rasa kesyukuran atas nikmat dan kurniaan Allah SWT.
MARKAS TENTERA LAUT, WISMA PERTAHANAN, JALAN PADANG TEMBAK, 50634 KUALA LUMPUR
Emel : webmaster@navy.mil.my | Tel : (60)3-40160159
Best Viewed : Mozilla Firefox / Google Chrome / Microsoft Edge
COPYRIGHT | PRIVACY & POLICY | DISCLAIMER | SITE MAP