OPERASI FAJAR

Operasi Fajar atau OP FAJAR bermula pada 27 Ogos 2008 yang bertujuan untuk menyelamatkan dua buah Kapal MISC Berhad yang dirampas lanun di Teluk Aden. Operasi ini melibatkan ketiga-tiga cabang perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan TLDM sebagai agensi peneraju bersama MISC dan juga Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Aset TLDM iaitu KD LEKIU dan KD SRI INDERAPURA telah diaturgerak ke Teluk Aden untuk misi pertama menyelamatkan kapal MT BUNGA MELATI DUA dan MT BUNGA MELATI 5 milik MISC.

Rundingan di antara MISC dan pihak lanun Somalia berakhir dengan kejayaan apabila MT BUNGA MELATI 5 dan anak-anak kapalnya dilepaskan pada 27 September 2008 dan diikuti dengan MT BUNGA MELATI DUA pada 29 September.

Mengambil iktibar kejadian yang berlaku pada 27 Ogos 2002 dan kejayaan OP FAJAR pada ketika itu, kerajaan memutuskan OP FAJAR diteruskan sebanyak tiga siri lagi sehingga Jun 2009 dengan aset TLDM bersama warga ATM mengiringi kapal-kapal MISC yang belayar mengharungi Teluk Aden.

Pada masa yang sama, kerjasama strategik di antara TLDM dan MISC terus kukuh dengan persetujuan untuk mengubahsuai kapal MISC MT BUNGA MAS LIMA kepada sebuah kapal auksiliari TLDM untuk misi OP FAJAR yang seterusnya. MT BUNGA MAS LIMA telah menyertai OP FAJAR sebagai kapal pengiring pada 3 Julai 2009.

Pada tahun 2011, sebuah lagi kapal milik MISC - MT BUNGA MAS ENAM - telah diserahkan kepada TLDM dan diubahsuai menjadi kapal auksiliari kedua.

Satu lagi insiden telah berlaku pada 20 Januari 2011 apabila kapal tangki minyak MISC MT BUNGA LAUREL yang sedang belayar dari Teluk Aden ke Singapura diserang lanun. Kapal Auksiliari BUNGA MAS LIMA yang baharu sahaja selesai tugasan mengiringi MT BUNGA LAUREL telah menerima berita tersebut dan misi menyelamat diaktifkan yang melibatkan warga Pasukan Khas Laut (PASKAL) dan kru helikopter FENNEC. Misi menyelamat MT BUNGA LAUREL berjaya dan lanun-lanun tersebut telah didakwa di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Kesemua lanun telah mengaku bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara selama lapan hingga 10 tahun pada 2 September 2013.