






LAKSAMANA TAN SRI (Dr.) ZULHELMY BIN ITHNAIN
PGAT PSM PJN PSAT DPMS DSPN PAT JMN SIS KAT PJM PPS PPA Order of Legion d’Honneur (France) rcds (UK) MNSA (Philippines) ndc psc Hon DMaritime (NMUC)
Laksamana Tan Sri (Dr.) Zulhelmy bin Ithnain dilahirkan pada 2 Januari 1968 di Datuk Keramat, Kuala Lumpur. Beliau telah menyertai perkhidmatan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sebagai Pegawai Kadet pada 6 Ogos 1986 dan ditauliahkan dua tahun kemudian sebagai Leftenan Muda dalam cawangan Eksekutif.
Menjangkau 38 tahun dalam perkhidmatan, beliau telah memegang pelbagai perjawatan di kapal mahupun di pangkalan. Perjawatan yang pernah beliau sandang termasuk Pegawai Navigasi dan Pegawai Laksana KD KRIS (PC), Pegawai Navigasi dan Pegawai Persenjataan KD GANYANG (FAC M), Pegawai Persenjataan KD PAUS (FSC), Pegawai Penyelidik Pusat Taktik Maritim (PUSTAKMAR), Pegawai Jurulatih Persenjataan Fakulti Pegawai, KD PELANDOK dan Pegawai Peperangan Utama KD LEKIU. Beliau juga turut diperjawat sebagai Tim Nukleus Kapal Selam TLDM, Pegawai Staf Kapal Selam dan Pegawai Staf Projek Kapal Selam di Markas Tentera Laut sebelum menyertai Kursus Latihan Kapal Selam di Perancis.
Laksamana Tan Sri (Dr.) Zulhelmy telah menghadiri pelbagai kursus di luar negara termasuk Kursus Kelayakan Kapal Selam di HMAS Platypus, Australia pada tahun 1993; Kursus Pegawai Peperangan Utama di HMS Dryad, United Kingdom pada tahun 1996; dan Kursus Kapal Selam di Brest, Perancis bermula tahun 2005 sehingga tahun 2009 yang mana beliau telah dianugerahkan Sijil Kelayakan Pegawai Memerintah Kapal Selam jenis Agosta sebelum dilantik sebagai Pegawai Memerintah Pertama Kapal Selam jenis Scorpene, KD TUNKU ABDUL RAHMAN. Sejarah tercipta apabila beliau berjaya berlayar membawa pulang Kapal Selam Pertama Malaysia dari Perancis ke Malaysia yang mengambil masa hampir dua bulan. Selain itu, beliau juga merupakan graduan daripada US Naval War College, Rhode Island pada tahun 2002. Pada tahun 2012, beliau telah dianugerahkan Ijazah Sarjana National Security Administration dan turut menerima The Outstanding Alumni Award dari National Defence College of the Philippines. Beliau juga merupakan alumni Royal College of Defense Studies (RCDS), United Kingdom dan telah menamatkan pengajian pada tahun 2016.
Khidmat dan sumbangan beliau dalam Angkatan Kapal Selam amat penting dan terbukti apabila beliau diberi kepercayaan memegang pelbagai jawatan penting termasuk Pegawai Memerintah Pusat Latihan Kapal Selam dan Ketua Staf merangkap Panglima Angkatan Kapal Selam. Beliau turut dilantik sebagai Panglima Angkatan Kapal Selam bermula 19 Februari 2018 sehingga 27 Jun 2019. Kecemerlangan dan kepimpinan beliau tidak dapat disangkal apabila beliau turut diberi kepercayaan oleh pengurusan tertinggi untuk menjawat pelbagai jawatan lain termasuk Asisten Ketua Staf Pembangunan (J5) di Markas Angkatan Bersama, Asisten Ketua Staf Perancangan dan Pembangunan (N5) di Markas Tentera Laut, Panglima Wilayah Laut 1 dan Presiden Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (PUSPAHANAS). Pada 11 Ogos 2023, beliau telah dilantik sebagai Timbalan Panglima Tentera Laut seterusnya memegang jawatan Panglima Tentera Laut mulai 1 Ogos 2024.
Laksamana Tan Sri (Dr.) Zulhelmy telah mendirikan rumah tangga dengan Puan Sri Zamzelina binti Ahmad yang juga merupakan pesara TLDM dan dikurniakan dua orang cahaya mata. Bagi mengisi masa lapang, beliau aktif dalam sukan golf.


LAKSAMANA MADYA DATUK Ts. BADARUDIN BIN TAHA
PSAT PMW PAT KAT ACM PJM PPS PPA MSoc Sc DS (UKM) MMaritimePol (UOW) Dip PSP (UM) P. Tech Fellow Scholar (NDUM) nrc mpat psc
Laksamana Madya Datuk Ts. Badarudin bin Taha dilahirkan pada 28 Disember 1967 di Bagan Datuk, Perak. Beliau menyertai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada 4 Julai 1988 dan ditauliahkan sebagai Leftenan Muda TLDM dalam Cawangan Eksekutif pada 30 Jun 1990. Beliau kini menjawat jawatan sebagai Timbalan Panglima Tentera Laut ke-25, berkuat kuasa mulai 13 Januari 2026.
Sepanjang hampir empat dekad perkhidmatan, beliau telah menggalas pelbagai jawatan penting di kapal dan pangkalan, merangkumi peranan operasi, staf dan strategik sama ada dalam TLDM mahupun Perkhidmatan Bersama. Antara jawatan utama yang pernah disandang termasuk Pegawai Staf 1 (PS1) Strategi, PS1 Rancang, Pengarah Dasar Sumber Manusia serta Pengarah Kanan Sumber Manusia, yang mana beliau memainkan peranan signifikan dalam perancangan strategik, pembangunan organisasi dan pengurusan modal insan TLDM.
Dalam aspek pemerintahan di laut, beliau pernah dilantik sebagai Pegawai Memerintah KD TERENGGANU, sekali gus membuktikan keupayaan kepimpinan operasi yang cemerlang. Beliau seterusnya diberi kepercayaan sebagai Ketua Projek bagi Projek Kapal Latihan TLDM, satu inisiatif pembangunan keupayaan strategik yang dilaksanakan melalui kerjasama dengan syarikat pembinaan kapal dari Korea, Daewoo Shipbuilding & Marine Engineering (DSME).
Di peringkat Perkhidmatan Bersama, beliau pernah berkhidmat sebagai Ketua Pengurusan di Maktab Turus Angkatan Tentera (MTAT). Selain itu, beliau merupakan antara ahli teras dalam penubuhan Malaysian Institute of Defence and Security (MIDAS) pada tahun 2010, iaitu badan pemikir strategik Kementerian Pertahanan, dan seterusnya memegang jawatan sebagai Pengarah Jabatan Ancaman Bukan Tradisional dari tahun 2010 hingga 2012. Beliau juga pernah menjawat jawatan sebagai Komandan Maktab Pertahanan Angkatan Tentera (MPAT), PUSPAHANAS dari tahun 2022 hingga 2024, dalam usaha membangunkan pemimpin strategik Angkatan Tentera Malaysia. Sebelum pelantikan semasa, beliau merupakan Asisten Ketua Staf Sumber Manusia di Markas Tentera Laut, Kementerian Pertahanan.
Dari segi pembangunan profesional dan akademik, beliau telah menghadiri pelbagai kursus di dalam dan luar negara. Antaranya termasuk Kursus Panjang Navigasi dan Pandu Arah di PNS BAHADUR, Pakistan pada tahun 1996, yang melayakkan beliau sebagai pakar dalam bidang navigasi maritim. Beliau turut mengikuti Kursus Korvet Itali Kumpulan Keempat di La Spezia, Itali. Pada tahun 2007, beliau memperoleh Ijazah Sarjana (Kepujian) dalam Polisi Maritim dari Universiti Wollongong, Australia. Seterusnya, sebagai alumni Kohort MAFDC 2014, beliau dianugerahkan Ijazah Sarjana dalam Pengajian Pertahanan dan Strategik (Kepujian) oleh Universiti Kebangsaan Malaysia. Pada tahun 2021, beliau telah mengikuti Kursus Ketahanan Negara di Maktab Ketahanan Nasional, PUSPAHANAS dan seterusnya dianugerahkan gelaran Fellow Scholar oleh Universiti Pertahanan Nasional Malaysia. Beliau juga diiktiraf sebagai Profesional Teknologis oleh Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT).
Beliau mendirikan rumah tangga bersama Datin Noriah binti Sahlan dan dikurniakan tiga orang cahaya mata.
Pada masa lapang, beliau gemar bermain golf dan membaca. Beliau juga mempunyai minat mendalam dalam bidang geopolitik, kepimpinan, pengurusan perubahan serta pembangunan angkatan, yang terus membentuk perspektif strategik dan sumbangan beliau kepada organisasi.


LAKSAMANA MADYA DATO' BAHARUDIN BIN WAN MD NOR
PSAT DSPN PAT SIS KAT PJM PKN PPS PPA Order of Legion d'Honneur (France) MNSA (Phillippines) Fellow Scholar (NDUM) nrc ndc nsc
Laksamana Madya Dato’ Baharudin bin Wan Md Nor menyertai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sebagai Pegawai Kadet pada Julai 1989. Sepanjang tempoh perkhidmatan, beliau pernah berkhidmat di beberapa buah kapal di laut serta di pangkalan. Semasa di kapal, beliau berkhidmat sebagai Pegawai Navigasi, Pegawai Eksekutif dan sebagai Pegawai Peperangan di kapal Frigate. Beliau juga merupakan antara kumpulan perintis kapal selam TLDM, setelah memulakan latihan awalnya dengan Tentera Laut Diraja Australia (TLDA) pada tahun 1995. Apabila TLDM memutuskan untuk menubuhkan Pasukan Kapal Selam pada tahun 2005, beliau telah dipilih, berkelayakan dan seterusnya dilantik sebagai Pegawai Memerintah kapal selam Kelas Scorpene TLDM selepas siap dibina di Perancis. Bagi perjawatan di pangkalan, beliau telah berkhidmat dalam pelbagai kapasiti di Pusat Latihan, Perancangan, Strategi, Operasi dan Sumber Manusia. Perjawatan Pegawai Kanan beliau termasuk sebagai Panglima Angkatan Kapal Selam TLDM, Ketua Pegawai Transformasi Tentera Laut di mana beliau bertanggungjawab untuk penggubalan, perancangan, pelaksanaan dan penyeliaan program transformasi untuk TLDM, Asisten Ketua Staf Sumber Manusia Tentera Laut di Markas Tentera Laut, Asisten Ketua Staf J7 di Markas Angkatan Bersama, Inspektor Jeneral di Markas Tentera Laut dan sebagai Panglima Wilayah Laut 1 sebelum memegang jawatan Panglima Armada Barat pada 25 Mei 2025.
Laksamana Madya Dato’ Baharudin telah menamatkan pelbagai kursus pembangunan profesional dan kepimpinan sepanjang kerjayanya. Selain daripada kursus peperangan maritim dan pengkhususan kapal selam, beliau merupakan graduan daripada United States Naval War College, Rhode Island serta penerima anugerah Kapten Walter B. Woodson pada tahun 2004. Beliau merupakan Valedictorian of National Resilience College Class 2021 dan felo di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia. Beliau telah menghadiri Program Senior Leadership di Naval Post Graduate School, Monterey, Amerika Syarikat pada tahun 2024. Laksamana Madya Dato’ Baharudin memiliki Ijazah Sarjana dalam National Security Administration. Pada tahun 2018, beliau telah menjadi penulis bersama subuah buku berjudul “Strategy Document for Royal Malaysian Navy 15to5 Transformation Program”. Beliau juga pakar dalam bidang Transformasi Organisasi dan telah dijemput berucap di pelbagai forum.
Sepanjang kerjayanya, beliau telah dianugerahkan dengan beberapa anugerah, pingat dan penghargaan sebagai pengiktirafan perkhidmatannya, antaranya ialah Tokoh ANSARA 2013, Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, Darjah Setia Sultan Sharafuddin Idris Shah, Darjah Pahlawan Angkatan Tentera, Darjah Setia Pangkuan Negeri dan Panglima Setia Angkatan Tentera. Pada tahun 2012, Laksamana Madya Dato' Baharudin telah dianugerahkan Chevalier de I’Ordre National de la Legion d’Honneur, a French order of merit for military and civil deeds. Laksamana Madya Dato’ Baharudin juga merupakan Ahli Persatuan Pencinta Alam Malaysia, sebuah organisasi yang menggalakkan perlindungan dan pemuliharaan warisan semula jadi Malaysia. Laksamana Madya Dato’ Baharudin telah mendirikan rumah tangga bersama Datin Shafiqah Ismail.


LAKSAMANA MADYA DATO' KHIR JUNAIDI BIN IDRIS
PSAT DSIS PAT SMT PKK KAT KMN PJM PPS PPA MA (UNSW) Dip PSP (UM) psc
Laksamana Madya Dato’ Khir Junaidi dilahirkan di Kemaman, Terengganu. Beliau merupakan seorang yang berkepakaran dalam bidang Navigasi dan telah menyertai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada tahun 1985. Latihan asas ketenteraan beliau dijalani di Pusat Pendidikan dan Latihan TLDM, Lumut, Perak. Sepanjang perkhidmatan, beliau telah memegang pelbagai jawatan penting dalam TLDM.
Antara jawatan yang pernah disandang ialah Pegawai Memerintah KD LAKSAMANA MUHAMMAD AMIN, Penasihat Pertahanan Malaysia di Perancis, Pengarah Pasukan Simpanan di Bahagian Pasukan Simpanan, Markas Tentera Laut serta Timbalan Panglima Armada Barat di Markas Pemerintahan Armada Barat. Selain itu, Laksamana Madya Dato’ Khir Junaidi juga pernah bertugas sebagai Komander Pangkalan Lumut di Markas Pangkalan Lumut, Asisten Ketua Staf Operasi dan Strategi di Markas Tentera Laut, Kementerian Pertahanan serta sebagai Panglima Wilayah Laut 2.
Dalam bidang akademik, Laksamana Madya Dato’ Khir Junaidi merupakan alumni Universiti New South Wales @ ADFA, Australia di mana beliau memperolehi Sarjana dalam Pengajian Strategik dan Pertahanan pada tahun 2006. Laksamana Madya Dato’ Khir Junaidi juga memiliki Diploma Pengajian Pertahanan dan Strategik dari Universiti Malaya, Malaysia.
Laksamana Madya Dato’ Khir Junaidi telah mendirikan rumah tangga bersama Datin Norhaliza binti Shaari dan dikurniakan enam orang cahaya mata, iaitu dua lelaki dan empat perempuan. Laksamana Madya Dato’ Khir Junaidi meminati sukan golf dan aktiviti berbasikal sebagai hobi utama.


LAKSAMANA MUDA KAMARUDDIN BIN OMAR
PSAT PAT KAT ACM PJM PPS PPA MMgt (UM) Dip PSP (UM) Fellow Scholar (NDUM) nrc psc
Laksamana Muda (LAKSDA) Kamaruddin bin Omar dilahirkan pada 14 September 1967 di Bota Kiri, Perak. Beliau menyertai perkhidmatan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada 1 September 1985 sebagai Pegawai Kadet Pengambilan Ke-34 dan ditauliahkan sebagai pegawai TLDM pada 1 September 1987.
Pada 8 Mei 2026, beliau telah dilantik sebagai Panglima Latihan dan Doktrin TLDM. Sepanjang perkhidmatan, beliau telah menggalas pelbagai jawatan strategik dan kepimpinan penting dalam TLDM, antaranya Asisten Ketua Staf J5 di Markas Angkatan Bersama (MAB), Asisten Ketua Staf Pentadbiran dan Sekretariat, Marsyal Provos TLDM, Pegawai Memerintah merangkap Pegawai Kanan Skuadron KD SRI INDERA SAKTI, Pegawai Memerintah KD MALAYA, Pegawai Laksana KD PELANDOK, Pegawai Memerintah KLD Tunas Samudera, Pegawai Memerintah KD SRI NEGERI SEMBILAN, Pegawai Laksana KD MAHAMIRU serta Pegawai Memerintah KD JERAI.
Beliau turut memiliki pengalaman penugasan di peringkat antarabangsa sebagai Atase Pertahanan di Kedutaan Besar Malaysia di Paris, Perancis, sekali gus memperkukuhkan jaringan diplomasi pertahanan negara di arena global.
Laksamana Muda Kamaruddin bin Omar mendirikan rumah tangga bersama Puan Roziyan binti Ariffin dan dikurniakan lima orang cahaya mata, terdiri daripada dua perempuan dan tiga lelaki.


LAKSAMANA PERTAMA KAMALRULZAMAN BIN ZAINUL AHKMAR
PAT PMP KAT PPS PPA MNSA ndc
Laksamana Pertama Kamalrulzaman bin Zainul Ahkmar dilahirkan pada 27 Ogos 1971 di Ipoh, Perak. Beliau mula menyertai perkhidmatan TLDM pada 1 Julai 1992 dan telah terpilih untuk mengikuti International Midshipmen Course di Britannia Royal Naval College United Kingdom pada tahun 1993. Laksma Kamalrulzaman telah ditauliahkan dengan pangkat Lt Muda TLDM dalam Cawangan Eksekutif pada 2 Julai 1994 dan turut dianugerahkan pedang kehormat. Pencapaian akademik tertinggi beliau adalah Ijazah Sarjana dalam National Security Administration daripada National Defence College of the Philippines. Laksma Kamalrulzaman telah dilantik sebagai Panglima Angkatan Kapal Selam Ke-7 pada 28 Februari 2024.
Kecenderungan dalam kepakaran Kapal Selam bermula setelah Laksma Kamalrulzaman dihantar mengikuti Kursus Asas Kapal Selam di Golcuk, Turkiye pada tahun 1996 dan Submarine Familiarisation Course di Toulon, Perancis pada tahun 1997. Beliau juga turut mendapat kelayakan sebagai Pegawai Anti Kapal Selam setelah menamatkan Kursus Peperangan Anti Kapal Selam di HMS DRYAD, United Kingdom pada tahun 2000. Laksma Kamalrulzaman merupakan antara perintis perkhidmatan kapal selam di dalam TLDM apabila terpilih menjalani latihan sebagai Designated Submarine Personnel (DSP) di Ecole de Formation Sous-Marine, Brest, Perancis selama empat tahun bermula tahun 2005.
Sepanjang perkhidmatan, Laksma Kamalrulzaman telah diperjawatkan dengan beberapa jawatan penting di dalam TLDM antaranya, Pegawai Laksana KD SRI NEGERI SEMBILAN, KD SERAMPANG dan KD PARI, Pegawai Peperangan KD LAKSAMANA MUHAMMAD AMIN dan KD LAKSAMANA TUN ABDUL JAMIL, Pegawai Laksana dan Pegawai Memerintah KD TUNKU ABDUL RAHMAN. Selain itu beliau juga pernah memegang jawatan sebagai Staf Latihan Penyesuaian Laut, Markas Armada, Lumut, Perak dan sebagai Pegawai Memerintah Pusat Latihan Kapal Selam dan Ketua Staf mulai tahun 2019 hingga 2023 di dalam Angkatan Kapal Selam TLDM.
Laksma Kamalrulzaman telah mendirikan rumah tangga dengan Puan Masliza binti Yunus dan dikurniakan tiga orang cahaya mata lelaki. Beliau aktif dalam sukan golf dan scuba diving.


LAKSAMANA PERTAMA RUZMAN BIN MAT
PAT KAT ACM PPS PPA MSc EBM (Warwick) MMgt (UNITAR) MSoc Sc DS (UKM) MA (Strg) NDU Washington D.C. Dip PSP (UM) mpat psc
Laksamana Pertama Ruzman bin Mat dilahirkan pada 5 Julai 1971 di Kampung Gunung, Bachok Kelantan. Beliau merupakan seorang Pegawai Taktikal Udara (TACCO), dan telah berkhidmat dalam Tentera Laut Diraja Malaysia sejakditauliahkan pada 1 Julai 1993. Sepanjang kerjayanya, beliau telah ditugaskan di Cawangan Udara, Armada TLDM dan markas serta pangkalan. Dalam kerjaya penerbangan, beliau telah ditugaskan di Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia sebagai Juruterbang Operasi pesawat MI-17V pada tahun 2000. Seterusnya, beliau berkhidmat sebagai juruterbang operasi bersama Skuadron 502 yang mengendalikan pesawat AS555SN Fennec pada tahun 2003. Pada tahun 2005, beliau telah ditugaskan sebagai TACCO helikopter Super Lynx Mk100 di Skuadron 501. Semasa berkhidmat di Skuadron 501, beliau terlibat sebagai Flight Commander dalam operasi anti-pelanunan, Ops Fajar 5, di Teluk Aden pada tahun 2009.
Selain itu, beliau turut memegang pelbagai jawatan di kapal. Pada peringkat awal kerjaya, beliau telah berkhidmat sebagai Pegawai Laksana KD KELEWANG pada tahun 1994, diikuti sebagai Pegawai Persenjataan KD MARIKH pada tahun 1995. Beliau kemudiannya menjalankan tugas sebagai Pegawai Navigasi di KD PERKASA pada tahun 1996 dan di KD SRI INDERA SAKTI pada tahun 1999. Beliau seterusnya telah dilantik sebagai Pegawai Memerintah KD KEDAH pada tahun 2017.
Laksamana Pertama Ruzman telah mengikuti Kursus Staf di Maktab Turus Angkatan Tentera Malaysia pada tahun 2008 dan Maktab Pertahanan Angkatan Tentera Malaysia pada tahun 2019. Beliau juga memiliki beberapa kelayakan pascasiswazah, termasuk Ijazah Sarjana Pengurusan daripada Universiti Tun Abdul Razak (UNITAR) pada tahun 2013, Master’s Degree in Engineering Business Management daripada University of Warwick, pada tahun 2014, serta Ijazah Sarjana Sains Sosial (Pengajian Pertahanan) daripada Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 2019. Pada tahun 2024, beliau telah memperolehi Master’s Degree in National Security and Resources Strategy di National Defence University, Washington, D.C.
Selepas menamatkan pengajian tersebut pada tahun 2024, beliau telah dilantik sebagai Ketua Staf di Markas Udara TLDM dan seterusnya dinaikkan sebagai Panglima Udara TLDM pada 23 Januari 2025.
Beliau telah mendirikan rumah tangga bersama Puan Roslina binti Mat Nawi dan dikurniakan empat orang cahaya mata, iaitu seorang lelaki dan tiga perempuan.


LAKSAMANA PERTAMA DATO' HJ MOHD REDZUAN BIN HJ TALIB
DSIS PAT KAT AMN PJM PNBB PPS PPA MSoc Sc (UKM) Dip PSP (UM) mpat psc
Laksamana Pertama Dato' Hj Mohd Redzuan bin Haji Talib TLDM dilahirkan pada 28 September 1967 di Mambau Negeri Sembilan. Beliau telah menyertai Tentera Laut pada 1 September 1985 setelah menamatkan pendidikan di Sekolah Menengah Mantin. Beliau menjawat jawatan sebagai Panglima Pasukan Khas Laut ke-4 pada 19 Februari 2020. Sepanjang berkhidmat, beliau telah memegang pelbagai perjawatan di darat termasuklah Pegawai Memerintah Pasukan Unit 1 dan 2, Pengarah Operasi Khas di Markas Angkatan Bersama dan perjawatan beliau adalah Ketua Staf Markas Wilayah Laut 3.
Laksamana Pertama Dato' Hj Mohd Redzuan telah mengikuti pelbagai kursus profesional dan ketenteraan sepanjang kerjayanya. Antaranya termasuk Kursus Advanced Clearance Diving di HMS PENGUIN Australia dan Kursus Komandan Kontinjen Operasi Pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Bangladesh. Beliau telah memperolehi Sarjana Sains dalam Pertahanan dan Pengajian Strategik dari Maktab Pertahanan Angkatan Tentera Malaysia.
Beliau juga memiliki berbagai pengalaman dalam melayani negara-negara lain seperti MINURSO Sahara Barat dan UNMIS Sudan sebagai pemerhati Tentera untuk misi menjaga keamanan PBB.
Laksamana Pertama Dato' Hj Mohd Redzuan telah berkahwin bersama Datin Hajah Hilda bt Mohd Nor dan dikurniakan 4 orang cahaya mata. Beliau sangat aktif bersukan dan mengisi masa lapang dengan melakukan aktiviti yang mencabar diri beliau di dalam sukan lasak dan bermain skuasy.


LAKSAMANA PERTAMA AHMAD NAZREE BIN ABU HASSAN
PAT SMP KAT KMN AMN PJM PNBB (Congo) PPS PPA MMgt (UM)Dip IT (CICT) psc
Laksamana Pertama Ahmad Nazree bin Abu Hassan dilahirkan pada 19 Mac 1970 di Kuching, Sarawak. Memasuki perkhidmatan TLDM pada 1988. Beliau telah diamanahkan memegang pelbagai jawatan penting di dalam ATM/TLDM antaranya Pegawai Navigasi KD SRI NEGERI SEMBILAN, Pegawai Selam KD JERAI, Ketua Tim Gempur PASKAL, Pegawai Perantaraan ATM Misi Bantuan Kemanusiaan Tsunami Aceh (2005), Pegawai Laksana KD PANGLIMA HITAM, Pegawai Laksana KD MAHAWANGSA, Pegawai Memerintah KD LAKSAMANA TUN ABDUL JAMIL merangkap Pegawai Kanan Skuadron Korvet Ke-24, Pegawai Memerintah KD MALAYA, Pegawai Memerintah KD SRI SEMPORNA, Pengarah Ops Khas - Markas Angkatan Bersama (MAB) dan Ketua Pengarah Bahagian Operasi Pasukan Khas Pertahanan (BOPKP). Beliau merupakan perintis Pemerhati Tentera ATM misi PBB di Democratic Republic of Congo pada tahun 2001.
Telah mengikuti pelbagai kursus profesional dan ketenteraan sepanjang kerjayanya. Antaranya tempur jarak dekat dan terjun bebas di PULPAK, Advance Urban CQB di SASR Swanborne Perth Australia, International Advance Clearance Diver di HMAS Penguin Australia, Amphibious Staff Planning dan NGSLO di Coronado Amerika Syarikat, SESKOAL (Anugerah Dharma Wiratama Widya Wacana - Tesis Terbaik) di Indonesia dan Pengurusan Pemerintah Pasukan Tentera Darat di INSPEKA, Port Dickson.
Beliau telah mendirikan rumah tangga dengan Lt Kdr Norazah bt Abdullah TLDM (Bersara) dan dikurniakan tiga orang cahaya mata. Seorang yang mengamalkan gaya hidup sihat, gemar kepada aktiviti lasak dan mencabar.

LAKSAMANA PERTAMA MOHD HASNAN BIN MOHD HANFIAH
PAT PKK KAT KMN PPS PPA MM (UM) MSoc Sc DS (UKM) MSc NSS (NDU) Dip PSP (UM) Dip PP (UNITAR) mpat nwc psc
Laksamana Pertama Mohd Hasnan bin Mohd Hanafiah dilahirkan pada 17 Ogos 1972 di Kota Bharu, Kelantan. Beliau menyertai Tentera Laut Diraja Malaysia sebagai Pegawai Kadet pada tahun 1993 dan ditauliahkan sebagai Leftenan Muda pada bulan Julai 1995. Pada 17 November 2025, beliau telah mengambil alih jawatan sebagai Panglima Pasukan Simpanan TLDM di Markas Pasukan Simpanan TLDM.
Dalam jawatan ini, Laksamana Pertama Mohd Hasnan bin Mohd Hanafiah banyak menggubal, menguruskan dan mengukuhkan sektor latihan serta sumber manusia Pasukan Simpanan TLDM. Beliau merupakan Pegawai Berkepakaran Navigasi dan perjawatan pertama beliau adalah di KD YU pada tahun 1996. Beliau juga pernah diperjawatkan di KD HANDALAN, KD KASTURI dan KD LAKSAMANA HANG NADIM sebagai Pegawai Navigasi. Selain itu, beliau pernah menjawat jawatan sebagai Pegawai Memerintah KD LAKSAMANA MUHAMMAD AMIN pada tahun 2012 seterusnya menjadi Pegawai Kanan Skuadron Korvet Ke-24 pada tahun 2013. Antara perjawatan di pangkalan yang pernah disandang oleh beliau adalah Pegawai Staf 3 Operasi di Markas Tentera Laut (RANOP-OPS), Pegawai Navigasi PV1 di Pasukan Projek PV TLDM Lumut, Pegawai Staf 2 Operasi Sel B di Markas Angkatan Bersama (J3), Ketua Sekolah Navigasi KD PELANDOK, Ketua Penyelaku Anjungan KD PELANDOK, Pegawai Staf 1 R&P di Pejabat AKS KOMLEK, Asisten Ketua Staf Operasi Hadapan di Markas Pemerintahan Armada Timur, Asisten Ketua Staf Perancangan dan Kontigensi di Markas Pemerintahan Armada Timur, Pengarah Perhubungan Antarabangsa di Markas Tentera Laut - Bahagian Operasi dan Latihan (N3), Pegawai Memerintah KD PELANDOK pada tahun 2023 dan Timbalan Panglima Latihan dan Doktrin TLDM di Markas Pemerintahan Latihan dan Doktrin TLDM pada tahun 2024.
Sepanjang kerjaya, beliau banyak diberi peluang untuk belajar dan berlatih di pelbagai institusi latihan tempatan dan luar negara. Antaranya adalah Kursus Minor War Vessel Navigation di HMAS WATSON Australia, Kursus 22nd Long ‘ND’ Course di Pakistan, Kursus Combat Management System - Advance Operator di Bremen, Jerman dan 27th Indo-Pacific Naval College Seminars di Japan Maritime Self Defense Force (JMSDF) Command and Staff College (MCSC). Beliau juga telah menghadiri Kursus Staf di Maktab Turus Angkatan Tentera (MTAT) tahun 2007 dan Maktab Pertahanan Angkatan Tentera (MPAT) tahun 2017. Selain itu, beliau memegang Sarjana Pengurusan di Institut Pegawai Kanan (INSPEKA) tahun 2013, Sarjana Pengurusan di Universiti Malaya (UM) tahun 2014, Sarjana Sains Sosial (Pengajian Pertahanan) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) tahun 2018 dan Sarjana Pengajian Keselamatan Negara setaraf Maktab Ketahanan Negara (MKN) di National Defense University (NDU) di Washington D.C Amerika Syarikat tahun 2022.
Laksamana Pertama Mohd Hasnan bin Mohd Hanafiah telah berkahwin dengan Kdr Yusnita binti Zakaria TLDM dan dikurniakan empat orang cahaya mata lelaki. Hobi beliau semasa masa lapang adalah riadah golf, berjoging, berbasikal dan berenang.


LAKSAMANA MUDA DATO' Ts. SHAIFUL BAHRI BIN BAHARUDDIN
DSIS PAT KAT KMN AMN PJM PPS PPA CEng CMarEng MSoc Sc DS (UKM) BEng Electrical (UTM) Dip Eng (Elect) (UTM) P.Tech Fellow Scholar (NDUM) mpat
Laksamana Muda Dato' Ts. Shaiful Bahri bin Baharuddin dilahirkan pada 28 Februari 1967 di Seremban Negeri Sembilan. Beliau telah memasuki perkhidmatan TLDM pada 10 September 1985 sebagai Pegawai Kadet Universiti dalam bidang kejuruteraan elektrik dan telah ditauliahkan sebagai pegawai TLDM 14 Jun 1988. Beliau telah dinaikkan ke pangkat Laksamana Pertama pada 15 Jun 19 dan kini telah dilantik sebagai Panglima Logistik Barat yang kelima.
Sepanjang perkhidmatan, Laksamana Pertama Dato' Ts. Shaiful Bahri bin Baharuddin pernah diperjawatkan sebagai Pegawai Teknikal SKTLDM Kuantan, Pegawai Staf 3 WE B di Departmen Tentera Laut, Pegawai Staf 2 Persenjataan di Bahagian Logisitik Pembangunan Projek, Markas Tentera Laut , Pegawai Staf Kawalan Kualiti Markas Panglima Sistem Armada, Timbalan Pegawai Jurutera Elektrik KD JEBAT, Pegawai Memerintah SKTLDM Parit, Pegawai Sensor dan Persenjataan Pasukan Projek Angkatan Kapal Selam TLDM di Logistik CPP, Markas Tentera Laut, Pegawai Staf 1 Sistem Elektronik Dan Persenjataan MkTL (LOG CPP - SEL PPAKS), Pegawai Jurutera Elektrik dan Senjata KD JEBAT, Pegawai Jurutera Merangkap Pegawai Memerintah KD JEBAT, Pegawai Jurutera Elektrik dan Senjata KD JEBAT, Ketua Pegawai Staf NBCD/DCFF Markas Armada, Ketua Fakulti Kejuruteraan KD PELANDOK, Ketua Staf Markas Kejuruteraan TLDM, Pengarah Pengurusan Projek Peralatan di Bahagian Rancang CPP, Markas Tentera Laut dan seterusnya Ketua Pengarah Projek Littoral Combat Ship TLDM. Perjawatan terakhir beliau ialah Ketua Pengarah Pasukan Projek di Bahagian Perancangan dan Pembangunan (N5).
Beliau telah menghadiri pelbagai kursus kerjaya profesional dan akademik dalam dan luar negara seperti di Perancis, United Kingdom, Sweden dan Jerman. Dalam akademik, beliau memegang Diploma Elektrikal Komunikasi dan Ijazah Pertama dalam Kejuruteraan Elektrikal dan Sarjana Sains Sosial (Pengajian Pertahanan).
Atas jasa bakti, Beliau telah dianugerahkan dengan beberapa Darjah Kebesaran/Pingat/Bintang iaitu Pahlawan Angkatan Tentera (PAT), Kesatria Angkatan Tentera (KAT), Kesatria Mangku Negara (KMN), Ahli Mangku Negara (AMN) dan Pingat Jasa Malaysia (PJM).
Beliau telah mendirikan rumah tangga bersama Puan Nurulizan binti Nordin dan dikurniakan 2 cahayamata lelaki dan seorang cahayamata perempuan. Beliau menghabiskan masa lapang dengan aktiviti riadah seperti bermain golf dan mengayuh basikal.


LAKSAMANA PERTAMA ZAHARRUDIN BIN MOHAMED YUSOP
PAT KAT AMN PPS PPA MSc Log (UOW) Dip BS (ITM) Dip Sc Log (USM) Dip PSP (UM) CMILT dssc psc
Laksamana Pertama Zaharrudin bin Mohamed Yusop lahir di Singapura pada tahun 1969. Belau telah memulakan kerjaya di dalam TLDM sebagai Pegawai Kadet Skim Graduan Pengambilan Ke 3 dan ditauliahkan pada 23 Jun 1994 dalam kepakaran Cawangan Bekalan dan Urusetia. Sehingga kini beliau telah berkhidmat di dalam Tentera Laut Diraja Malaysia selama 30 tahun.
Sepanjang tempoh perkhidmatan, beliau telah memegang pelbagai jawatan merangkumi bekalan, perakaunan, logistik dan juga pengauditan. Antara jawatan yang pernah disandang seperti Pegawai bekalan KD HANG TUAH, Pegawai Perakaunan di Depot Peluru dan Bahan Letupan TLDM, Pegawai Staf 1 Audit di Bahagian Audit Dalam dan Siasatan AM serta Pegawai Staf 2 Logistik di Markas Angkatan Bersama. Pada masa kini beliau menjawat jawatan sebagai Panglima Logistik Timur di Pangkalan TLDM Sepangar, Sabah.
Laksamana Pertama Zaharrudin sentiasa berusaha membina kerjaya yang cemerlang sebagai Pegawai Bekalan dalam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), di mana beliau memberi dedikasi dan profesionalisme yang teguh sepanjang bertugas. Peranan seorang Pegawai Bekalan adalah penting untuk memastikan kesiapsiagaan operasi TLDM dengan menguruskan logistik, perolehan, inventori, dan sumber kewangan, yang kesemuanya penting untuk menyokong operasi dan misi laut dengan berkesan.
Laksamana Pertama Zaharrudin turut mengikuti pelbagai kursus kepakaran dalam bidang logistik, ketenteraan, pengurusan dan pengajian tinggi di dalam dan luar negara. Beliau berpeluang melanjutkan pelajaran di peringkat Sarjana di salah satu Universiti di Australia melalui program Malaysian Australian Joint Defense Program (MAJDP) dan memperolehi Master of Science in Logistics. Beliau juga turut diberi peluang untuk menjalani kursus di PLA National Defense University Beijing, China dan memperolehi Masters in Defense Studies pada tahun 2024.
Laksma Zaharrudin telah mendirikan rumah tangga dengan Puan Nor Hayati Bte Abd Razak dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki. Walaupun perlu bertugas di unit yang jauh dari keluarga, beliau tetap memberi komitmen yang tinggi dalam melaksanakan tugas agar setiap kerja yang dilaksanakan memberi impak yang positif kepada tahap operasi TLDM dalam menjaga keselamatan perairan negara. Pada masa ini, beliau tinggal di Pangkalan TLDM Teluk Sepangar, Kota Kinabalu Sabah.


KEPTEN AHMAD SANI BIN ZAKARIA
KAT PPS PPA MSoc Sc (UKM) MSDS (UPNM) Dip PSP (UPNM) Dip PT - PPM (UTM) mpat psc
Kepten Ahmad Sani bin Zakaria TLDM dilahirkan di Mersing, Johor pada 30 Januari 1979. Beliau mula berkhidmat dalam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada 30 Januari 1997 seterusnya ditauliahkan sebagai Pegawai TLDM pada 10 Jun 2001 dalam Cawangan Eksekutif. Kini, beliau diperjawatkan sebagai Komander Pangkalan Kota Kinabalu sejak 11 Disember 2023.
Sepanjang perkhidmatan, beliau telah diperjawatkan dengan beberapa jawatan penting di kapal dan pangkalan antaranya adalah Pegawai Peperangan Atas Air KD LEKIU dan KD JEBAT, Ketua Pegawai Peperangan KD SELANGOR, Pegawai Memerintah KD PERAK, Pegawai Staf 1 Perhubungan Antarabangsa di Markas Tentera Laut serta Pegawai Memerintah KD SRI KOTA KINABALU.
Beliau berpeluang menghadiri beberapa kursus dan seminar seperti Naval Head of Operation Department Course Siri 2005/2006 di Perancis, Kursus Pemerintahan dan Staf Malaysia Siri 44/2015, Seminar Humanitarian Operations di Austaralia pada 2017, Sulu Area Initiative Working Group di Filipina pada 2018 dan 4th International Maritime Security Symposium di Indonesia pada 2021. Dari segi akademik, beliau berkelulusan Sarjana Sains Sosial (Pengajian Strategik) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Kepten Ahmad Sani bin Zakaria TLDM telah berkahwin bersama Puan Dayang Melissa binti Abang Hamdan dan dikurniakan lima orang anak tiri.


LAKSAMANA MUDA DR. NAJHAN BIN MD SAID
PAT KAT PPS PPA PhD (Hydrography) (UTM) MSc (Hydrography) (UTM) MSc MarStud (UOW) Dip DS (ADC) Fellow Scholar (NDUM) nrc psc(j)
Laksamana Muda Dr. Najhan bin Md Said dilahirkan di Tanjung Kling, Melaka pada 27 Julai 1973. Beliau mula berkhidmat dalam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada 1 Julai 1991 dan ditauliahkan sebagai Pegawai TLDM dengan menyandang Pangkat Leftenan Muda TLDM pada 3 Julai 1993 dalam Cawangan Eksekutif. Beliau kemudiannya telah diserapkan ke dalam perkhidmatan hidrografi
TLDM setelah lulus Kursus Hidrografi Kategori B di Royal Australian Navy Hydrographic School, HMAS PENGUIN, New South Wales, Australia pada April 1996. Atas kecemerlangan prestasi, beliau terus meningkat dalam hierarki kepimpinan TLDM dan kini memegang jawatan sebagai Ketua Pengarah Hidrografi, Pusat Hidrografi Nasional (PHN) sejak 27 Oktober 2025 dengan menyandang pangkat Laksamana Muda.
Perjalanan karier Laksamana Muda Dr. Najhan sepanjang 33 tahun dalam TLDM adalah amat membanggakan. Beliau telah diperjawatkan dengan beberapa jawatan penting bukan sahaja di dalam perkhidmatan TLDM malah pernah dipinjamkan kepada Kementerian dan Agensi luar. Antara jawatan penting yang pernah dipikul beliau adalah sebagai Timbalan Ketua Pengarah Hidrografi di PHN, Pengarah Kanan Bahagian Perancangan dan Pembangunan di Markas Tentera Laut, Timbalan Panglima Armada Timur di Markas Pemerintahan Armada Timur, Pegawai Memerintah di KD PERANTAU, Pegawai Staf 1 Undang-Undang Maritim Bahagian Rancang dan Operasi di Markas Tentera Laut, Pegawai Khas kepada Ketua Pengarah Hidrografi dan beberapa jawatan lain termasuk di kapal-kapal TLDM. Selain daripada memegang pelbagai jawatan utama dalam perkhidmatan TLDM, beiau juga pernah dipinjamkan kepada organisasi luar sebagai Asisten Ketua Staf Operasi (J3) di Markas National Task Force dan Ketua Penolong Setiausaha di Bahagian Keselamatan dan Kedaulatan Maritim, Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri.
Dalam bidang hidrografi, kepakaran beliau turut diikhtiraf di pentas antarabangsa. Laksamana Muda Dr Najhan telah dipilih oleh Pertubuhan Hidrografi Antarabangsa (International Hydrographic Organisation) menganggotai Jawatankuasa Sub-Committee on Undersea Feature Names (SCUFN) sejak tahun 2018. Kewibawaan dan kemampuan beliau amat signifikan dan telah pun menerima pengikhtirafan daripada badan dunia tersebut apabila beliau dipilih sebagai Vice-Chair kepada jawatankuasa ini untuk penggal 2024 - 2028.
Di peringkat nasional pula, Laksamana Muda Dr. Najhan terlibat secara aktif dalam pelbagai Jawatankuasa dan Kumpulan Kerja Inter-Agensi terutamanya dalam hal-ehwal berkaitan pembatasan sempadan maritim Malaysia dengan negara-negara jiran. Beliau merupakan Subject Matter Expert dalam hal-ehwal teknikal perundangan maritim khususnya proses berkaitan dalam penentuan pembatasan sempadan maritim negara. Atas kepakaran ini, beliau telah diamanahkan sebagai Ketua Tim Khas bagi menyediakan dokumen-dokumen tuntutan bagi kawasan Pelantar Benua Malaysia melampaui 200 batu nautika ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York pada tahun 2019.
Laksamana Muda Dr. Najhan juga aktif dalam kerja-kerja kajian akedemik bersama ahli-ahli akedemik di universiti-universiti tempatan. Beliau telah terlibat secara aktif dalam pelbagai projek kajian terutamanya dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS). Beliau menganggotai beberapa tim kajian di bawah Geran Penyelidikan Pengajian Tinggi terutamanya dalam bidang hidrografi, kejuruteraan pesisir pantai dan sains samudera. Antara projek-projek kajian yang telah dilaksanakan oleh beliau ialah kajian hakisan Pantai Klebang dan Pantai Puteri, pemetaan habitan marin Pulau Kuraman, kajian ekosistem dasar laut di Pulau Tioman dan pemetaan marin habitat. Atas pengetahuan dan pengalaman yang dimiliki, beliau sering membentangkan kertas kerja bukan sahaja di peringkat domestik malah di forum antarabangsa.
Kecemerlangan Laksamana Muda Dr. Najhan tidak terhad dalam bidang kerjaya sahaja tetapi juga dalam bidang akedemik. Beliau merupakan pemegang Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Sains Hidrografi daripada UTM. Selain itu, beliau juga memiliki dua Ijazah Sarjana iaitu dalam bidang Sains Hidrografi, UTM dan Pengajian Maritim dari Fakulti Undang-Undang, Universiti of Wollonggong, NSW Australia. Beliau pernah dinobatkan sebagai Pemenang Anugerah Pelajar Pasca Sarjana Terbaik (Kategori Sains Sosial) bersempena Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Malaysia Ke-62 pada tahun 2019. Selain itu, beliau juga pernah dipilih sebagai pemenang Best Student Award semasa menghadiri kursus Summer Academic on the Continental Shelf di University of Faroe Island pada tahun 2014. Malah ketika menjalani kursus Australian Command and Staff College di Weston Creek, Canberra pada tahun 2008, beliau turut menerima Letter of Cemmendations atas prestasi yang membanggakan.
Laksamana Muda Dr. Najhan telah 28 tahun membina mahligai bahagia bersama isterinya, Puan Norhiyati binti Hamid, seorang Pegawai Perkhidmatan Pendidikan yang berkhidmat di SMK Kota Kemuning, Shah Alam. Pasangan bahagia ini telah dikurniakan tiga cahaya mata, Nureen Najeeha (27), Najmi Najmudeen (25) dan Nurdini Nadeera (22). Dalam aspek kecenderungan pula, beliau amat meminati bidang sukan. Beliau juga merupakan atlit sukan semasa di peringkat usia muda. Beliau pernah mewakili perkhidmatan TLDM dalam sukan hoki dan menembak. Buat masa ini, kecenderungan aktiviti sukan masih sebati dengan personaliti beliau dan aktif dalam sukan golf dan menembak.


LAKSAMANA MUDA ABDULLAH SANI BIN ISMAIL


LAKSAMANA MUDA DATO' PAHLAWAN MOHD FADZLI KAMAL BIN MOHD MOHALDIN
PSAT DPTS PAT KAT KMN ACM ADK PJM PKN PPS PPA MSc NSR (NDU Washington D.C.) MMgt DS (UCAN) MSoc Sc DS (UKM) Grad Cert Maritime Studies mpat psc(j)
Laksda Dato’ Pahlawan Mohd Fadzli Kamal dilahirkan di Pekan Diraja Kuala Kangsar, Perak pada 4 Mac 1967. Beliau menamatkan pendidikan menengah di Maktab Tentera Diraja, Sungai Besi pada 1984 sebelum menyertai Tentera Laut Diraja Malaysia pada 1 Sep 85.
Setelah ditauliahkan pada tahun 1987, perjawatan pertama beliau adalah sebagai Pegawai Persuratan di KD HANDALAN. Beliau menghabiskan sebahagian besar kerjayanya berkhidmat dengan Armada TLDM antaranya KD RAHMAT, KD MUSYTARI, KD LAKSAMANA TAN PUSMAH, KD JEBAT, KD KASTURI dan KD LAKSAMANA MUHAMMAD AMIN. Perjawatan terakhir beliau bersama Armada TLDM adalah sebagai Pegawai Memerintah KD LEKIU yang juga merupakan Pegawai Kanan Armada Barat. Antara perjawatan lain yang dipegang oleh beliau adalah Pegawai Persenjataan, Pegawai Peperangan Anti Udara, Pegawai Peperangan Utama dan Pegawai Laksana. Sebelum menyandang tugas Asisten Ketua Staf Operasi dan Latihan, beliau telah memegang jawatan sebagai Ketua Pengarah Siber dan Elektromagnetik Pertahanan, Inspektor Jeneral di Markas Tentera Laut, Komandan Maktab Pertahanan Angkatan Tentera Malaysia, Ketua Staf di Markas Kesiagaan TLDM, Ketua Staf di Markas Wilayah Laut 2 dan Pegawai Pemerintah Pusat Kepimpinan TLDM. Beliau juga merupakan bekas Ketua R&D merangkap Pegawai Laksana di Pusat Taktikal Maritim TLDM, PUSTAKMAR dan pernah berkhidmat dengan Pusat Pendidikan dan Latihan Tentera Laut, KD PELANDOK.
Laksda Dato’ Pahlawan Mohd Fadzli Kamal mengikuti pelbagai kursus dalam dan luar negara seperti Kursus Pertahanan Udara, Kursus Pemerintahan Pegawai Rendah, Metodologi Latihan, Kawalan Kualiti serta kursus Juruaudit Dalaman/Pemimpin. Beliau juga berpeluang menjalani beberapa kursus di Amerika Syarikat, Kursus Pengkhususan Pegawai Peperangan Utama di HMS DRYAD, United Kingdom dan latihan kru pertama untuk Laksamana Class Corvette di Itali. Beliau lulus dari Australian Command and Staff College pada tahun 2003 dan memegang Ijazah Sarjana Pengurusan dalam Pengajian Pertahanan dari Universiti Canberra serta Sijil Siswazah dalam Pengajian Maritim dari Universiti Wollongong. Beliau memperoleh ijazah Sarjana kedua dalam Sains Sosial (Pengajian Pertahanan) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) semasa menghadiri Kolej Pertahanan MAF pada tahun 2010. Kemudian, beliau memperoleh Ijazah Sarjana Sains dalam Strategi Sumber Negara dari Eisenhower School of the National Defence University. , Washington DC. Beliau berpeluang terlibat sebagai peserta dan penceramah di pelbagai seminar dan persidangan antarabangsa.
Laksda Dato’ Pahlawan Mohd Fadzli Kamal pernah menjadi ahli sukan, pernah mewakili ATM dan TLDM dalam permainan hoki, ragbi dan bola keranjang semasa zaman mudanya. Beliau pernah memegang jawatan sebagai Timbalan Bendahari Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia, Setiausaha ATM dan Persatuan Berbasikal TLDM dan merupakan Pengerusi Persatuan Bola Keranjang TLDM. Beliau suka berkebun dan melaksanakan aktiviti luar.
Beliau berkahwin dengan Datin Shamsina binti Mohamed Salleh dan dikurniakan empat orang anak lelaki.


LAKSAMANA MUDA DATO' AHMAD SHAFIRUDIN BIN ABU BAKAR
PSAT DPMS PAT KAT PJM PPS PPA MSoc Sc DS (UKM) MMaritimePol (UOW) Dip PSP (UM) Cert (Postgrad) SecStraGL (King’s College London) rcds (UK) mpat psc
Laksamana Muda Dato' Ahmad Shafirudin bin Abu Bakar TLDM dilahirkan pada 10 Februari 1971 dan menyertai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada tahun 1989 melalui Skim Pegawai Kadet dan telah ditauliahkan pada 1 Julai 1991. Sepanjang perkhidmatan, beliau telah diberikan kepercayaan untuk memegang pelbagai jawatan penting antaranya Pegawai Navigasi KD SERAMPANG, Pegawai Eksekutif KD SRI NEGERI SEMBILAN, Pegawai Navigasi KD PERDANA, Pegawai Staf di Markas Tentera Laut, Pegawai Memerintah KD LEKIR pada tahun 2012 hingga 2014, Panglima Udara TLDM pada tahun 2020 hingga 2025 serta Panglima Wilayah Laut 3 pada tahun 2025.
Sebagai seorang Juruterbang Operasi yang berpengalaman, Laksamana Muda Dato' Ahmad Shafirudin telah mengetuai pelbagai misi penerbangan dalam kapasiti beliau sebagai Komander Penerbangan. Beliau juga merupakan Jurulatih Penerbangan Helikopter yang memainkan peranan penting dalam membimbing dan melatih juruterbang muda TLDM. Kerjaya beliau dalam bidang penerbangan turut melibatkan perkhidmatan bersama Tentera Udara Diraja Malaysia dan Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia sebagai Juruterbang Operasi, sekali gus memperlihatkan pengalaman operasi yang luas merentasi agensi nasional.
Beliau telah berjaya menamatkan kursus di Maktab Turus Angkatan Tentera pada tahun 2007 dan Maktab Pertahanan Angkatan Tentera pada tahun 2015. Dari segi kelayakan akademik, beliau memiliki Ijazah Sarjana Polisi Maritim dari University of Wollongong, Australia dan Ijazah Sarjana Sains Sosial (Pengajian Pertahanan) dari Universiti Kebangsaan Malaysia. Beliau juga pernah mengikuti kursus Royal College of Defence Studies (RCDS) di Seaford House, London, United Kingdom. Di samping itu, beliau telah menghadiri pelbagai kursus peningkatan kerjaya selaras dengan keperluan perkhidmatan. Beliau telah dinaikkan ke pangkat Laksamana Muda pada 26 Mei 2025 dan kini menyandang jawatan sebagai Asisten Ketua Staf Perancangan Pembangunan dan Strategi bermula 1 Ogos 2025.
Laksamana Muda Dato' Ahmad Shafirudin bin Abu Bakar telah mendirikan rumah tangga dengan Puan Hayati binti Osman dan dikurniakan tiga orang cahaya mata. Masa lapang beliau diisi dengan aktiviti bersama keluarga seperti melancong, manakala membaca dan berkebun merupakan hobi utama beliau.




LAKSAMANA MUDA DATUK Dr. AZIZI BIN HJ AHMAD SARKAWI
PSAT PGDK PAT KAT AMP PPS PPA PhD In Technology Operation and Logistic Management (UUM) MSc. (Mgmt) (UUM) Adv Dip In Strategic Studies (UM) Dip In Public Admin (UITM) CMILT Fellow Scholar (NDUM) nrc psc
Laksda Datuk Dr. Azizi bin Hj Ahmad Sarkawi telah memulakan kerjaya dalam TLDM sebagai Pegawai Kadet Graduan dan ditauliahkan pada 2 Julai 1993 dalam kepakaran Cawangan Bekalan dan Urusetia.
Di awal perkhidmatan, beliau telah memegang jawatan sebagai Pegawai Tadbir Cawangan di KD PELANDOK yang pertama pada tahun 1995, Pegawai Koordinasi Fakulti Pegawai, Pegawai Kawalan Tadbiran & Perolehan di Depot Bekalan Armada, Pegawai Logistik merangkap Pegawai Laksana di Unit Pengawasan Senggara TLDM Sg Nyior. Antara perjawatan penting di Markas Tentera Laut yang pernah beliau sandang adalah sebagai Pegawai Staf 2 Penempatan dan Pertukaran (Bekalan), Pegawai Staf 2 Polisi/Dokumentasi manakala di Bahagian Materiel pula sebagai Pengarah Pembangunan Materiel, Pengarah Kanan Materiel, Pengarah Belanjawan dan Asisten Ketua Staf Materiel.
Seterusnya beliau juga pernah diperjawatkan di Pusat Kepimpinan TLDM sebagai Ketua Sekolah Pengajian Kepimpinan Asas, Ketua Pegawai Staf Pengurusan Sistem di Markas Sistem Armada, Ketua Jabatan Materiel dan Kewangan di Markas Angkatan Kapal Selam, Ketua Bahagian Bantuan di KDSI 1, Ketua Fakulti Bekalan dan Pengurusan di KD PELANDOK dan Pegawai Memerintah Depot Bekalan Armada. Di peringkat Markas ATM, beliau telah menjawat jawatan sebagai Pegawai Staf 2 Rancang A 5 CTK - A. Seterusnya pada 30 Januari 2023, beliau telah diperjawatkan sebagai Panglima Logistik Timur.
Laksda Datuk Dr. Azizi telah menghadiri pelbagai kursus kepakaran dalam bidang logistik, ketenteraan, pengurusan dan pengajian tinggi di pelbagai universiti dalam dan luar negara. Pencapaian akademik tertinggi adalah Doktor Falsafah dalam bidang Teknologi, Operasi dan Pengurusan Logistik dari Universiti Utara Malaysia. Beliau telah lulus viva pada 2 Januari 2024 dan telah diijazahkan oleh pihak Senat UUM sebagai Doktor Falsafah dalam bidang seperti yang telah dinyatakan pada 14 Julai 2024. Beliau merupakan ahli profesional dalam Chartered Malaysia Institute Logistic and Transport serta American Society of Quality. Beliau juga telah menghadiri kursus di Maktab Ketahanan Nasional, PUSPAHANAS pada tahun 2022 dan telah dikurniakan Fellow Scholar of NDUM (nrc).
Laksda Datuk Dr. Azizi telah mendirikan rumah tangga dengan Puan Anita binti Mohamed Kassim dan dikurniakan dengan lima orang cahaya mata.


LAKSAMANA MUDA DATO’ Ir. Ts. Hj MOHD SHAIFUL ADLI CHUNG BIN ABDULLAH
PSAT DSIS DPSM PAT KAT KMN PJM PPS PPA BEng (1st Class Hons) Mech Master Eng Sc (Distinction, UNSW Australia) P. Eng MIEM P. Tech MBOT Dip PSP (UM) psc
Laksamana Muda Dato’ Ir. Ts. Haji Mohd Shaiful Adli Chung ialah Ketua Jurutera Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sejak tahun 2018. Dato’ Adli Chung telah berkhidmat 41 tahun di dalam TLDM. Sepanjang tempoh tersebut, hampir 30% perkhidmatan beliau adalah di 4 kapal. Berdasarkan pengalaman dan kepakaran Laksamana yang luas, beliau telah dilantik sejak tahun 2017 oleh Bureau Veritas (BV) yang berpangkalan di Paris sebagai Ahli Pengarah BV Naval Ship Committee.
Dalam aspek amalan pengurusan projek pula, beliau adalah Certified Project Manager dan juga Qualified Project Engineer, kedua-duanya dari Australia.
Dato’ Adli Chung adalah seorang yang minat menulis. Sehingga kini beliau telah mengarang 4 buah buku, selain penulisan dan Artikel yang kerap diterbitkan di majalah serta buletin badan profesional.
Berkaitan inovasi, beliau telah merekacipta tidak kurang 19 inovasi baharu, di mana 4 daripada inovasi tersebut telah dipaten berdasarkan Akta Hak Cipta 1987 (Akta 332), dan satu daripada paten tersebut telah digunapakai, yakni “dikomersialkan”. Pada tahun 2024 Dato' Adli Chung telah anugerahkan Ikon Inovasi TLDM di atas penglibatan dan pencapaian beliau dalam program yang dianjurkan di peringkat TLDM, Kementerian mahupun kebangsaan.
Dato’ Adli Chung berlatarbelakangkan academic standing yang cemerlang. Beliau berkelulusan Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal (Kepujian Kelas Pertama) dari Universiti Teknologi Malaysia, memperoleh Sarjana Sains Kejuruteraan (With Distinction) dari University of New South Wales, Australia dan Diploma Strategic & Defence Studies dari Universiti Malaya.
Dato’ Adli Chung adalah seorang yang aktif dalam sukan. Di awal tahun 90an, beliau merupakan atlet Taekwondo TLDM di Angkatan Tentera Malaysia dan menyertai perbagai Championship peringkat Negeri. Buat masa ini, beliau kekal aktif, diantaranya menyertai pertandingan IRONMAN, iaitu sukan lasak berjenama internasional yang semakin popular. Selain itu, beliau adalah masih in-date Naval Ship Diver sejak tahun 1992. Beliau juga seorang yang berkelayakan Lifesaver, dianugerahkan Bronze Medallion pada tahun 2019.
Sepanjang 41 tahun perkhidmatan, Dato’ Adli Chung telah memacu perbagai inisiatif, program dan penambahbaikan berterusan beyond the call of duty di mana telah meningkatkan kesiagaan operasi Armada TLDM dengan ketara. Selain itu, beliau telah berjaya menghasilkan penjimatan sehingga RM500 juta kepada Kerajaan. Berdasarkan sumbangan besar serta keberhasilan berimpak tinggi tersebut, pada tahun 2021 beliau telah dikurniakan Pingat Pujian Panglima Tentera Laut (Pujian PTL), iaitu penganugerahan dan pengiktirafan tertinggi di dalam TLDM. Beliau juga telah dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah Anugerah Hisbah Peringkat Negeri Melaka Tahun 2024.


LAKSAMANA PERTAMA DATO' ROSLEE BIN MOHAMAD ISA
DSPN PAT SMS PCM PMP KAT KMN PJM PKN PPS PPA MSoc Sc (UKM) Dip PSP (UM) mpdrm psc


LAKSAMANA PERTAMA JAMSARI BIN TAHIR
PAT SMS KAT PPS PPA MMaritimePol (UOW) Dip PT - PPM (UTM) ncc ndc psc
Laksamana Pertama Jamsari bin Tahir dilahirkan pada 16 Julai 1976 di Kota Tinggi, Johor. Beliau memasuki Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada tahun 1994 dan ditauliahkan pada 20 Jul 96 setelah menjalani latihan asas Tentera Laut di Kolej Tentera Laut Diraja, Lumut, Perak. Beliau mempunyai kepakaran sebagai Pegawai Peperangan Utama ‘A’.
Laksamana Pertama Jamsari pernah bertugas di dalam pelbagai perjawatan di Armada TLDM. Pernah diperjawatkan sebagai Pegawai Navigasi di KD HANDALAN dan KD PERDANA, Pegawai Memerintah dan Pegawai Kanan Skuadron Pembinasa Laju (MISIL) di KD GEMPITA, Pegawai Peperangan Utama KD KASTURI, Timbalan Pegawai Peperangan Utama, Pegawai Peperangan Atas Air (U), Ketua Pegawai Peperangan dan Pegawai Memerintah KD LEKIU.
Laksamana Pertama Jamsari juga pernah memegang pelbagai jawatan di bidang pentadbiran dan latihan. Beliau telah diperjawatkan sebagai Ketua Jurulatih dan Pegawai Memerintah KD SULTAN IDRIS I pada tahun 2018. Beliau juga telah diperjawatkan sebagai Pengarah Perancangan Pembangunan di Bahagian Perancangan Pembangunan dan Kontigensi pada tahun 2020 serta Timbalan Inspektorat Jeneral di Markas Tentera Laut pada tahun 2023.
Laksamana Pertama Jamsari bin Tahir berkelulusan Ijazah Sarjana Polisi Maritim daripada Universiti of Wollongong Australia. Selain itu beliau telah menghadiri kursus Staff di Maktab Turus Angkatan Tentera serta menghadiri Kursus Naval Command Course di Rhode Island Amerika Syarikat. Beliau diperjawatkan selaku Asisten Ketua Staf Siber dan Elektromagnetik di Markas Tentera Laut pada 28 oktober 2024 setamat menghadiri Kursus National Defence College di Bangkok Thailand.
Laksamana Pertama Jamsari telah mendirikan rumahtangga bersama Puan Aniadila binti Kamaruddin dan memiliki dua orang cahaya mata.

MARKAS TENTERA LAUT, WISMA PERTAHANAN, JALAN PADANG TEMBAK, 50634 KUALA LUMPUR
Emel : webmaster@navy.mil.my | Tel : (60)3-40160159
Paparan Terbaik : Mozilla Firefox / Google Chrome / Microsoft Edge
HAKCIPTA | DASAR & PRIVASI | PENAFIAN | PETA LAMAN