PANJI-PANJITLDM

Tentera Laut Diraja Malaysia ditubuhkan pada tahun 1934 oleh kerajaan British untuk membantu dan mempertahankan kedaulatan perairan Semenanjung Tanah Melayu dan Singapura. Pasukan ini diberi nama ‘Malay Section of the Royal Navy’ dan telah menjalani latihan di HMS PELANDOK, Pangkalan Tentera Laut British di Singapura. Pada tahun 1941, keanggotaan pasukan ini telah berkembang menjadi 1450 orang. Ketika Perang Dunia Kedua, mereka telah berkhidmat di bawah Panji-Panji Tentera Laut British di Lautan Hindi dan Lautan Pasifik. Ramai antara mereka telah terkorban atau hilang dalam pertempuran.

Nama pasukan ini berubah menjadi ‘Malayan Naval Force’ pada tahun 1949. Pada tahun 1952, Ratu Elizabeth II telah menganugerahkan gelaran ’Diraja’ kepada pasukan ini dan dikenali sebagai ‘Royal Malayan Navy’ (Tentera Laut Diraja Malaya).

Berikutan dengan kemerdekaan negara pada 31 Ogos 1957, Tentera Laut Diraja Malaya telah diserahkan oleh Kerajaan British kepada Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu pada 1 Jul 1958. Mulai saat itu, semua kapal Tentera Laut Diraja Malaya mengibarkan Panji-Panjinya sendiri. Pada 16 Sep 1963, dengan pembentukan Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaya telah bertukar nama dan dikenali sebagai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Meskipun usia TLDM masih muda dibandingkan dengan kebanyakan tentera laut negara-negara lain, namun sejarah perkhidmatannya amat cemerlang dan membanggakan. Sepanjang Perang Dunia Kedua, ramai anggotanya yang terdiri daripada anak-anak tempatan telah berjuang di Sri Lanka, Afrika Timur dan India bersama-sama Tentera Laut Diraja British. Pada tahun 1948 apabila keganasan komunis memuncak dan keadaan darurat diisytiharkan, TLDM telah memainkan peranan yang penting dalam menjaga keselamatan perairan di kawasan-kawasan terancam.

Sebagai tanda penghormatan negara terhadap tugas-tugas dan pengorbanan yang telah dicurahkan oleh TLDM, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-4, Al-Marhum Sultan Ismail Nasiruddin Shah Sultan Zainal Abidin telah berkenan mengurniakan Panji-Panji Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong kepada TLDM pada 12 Mac 1966. Pengurniaan ini sangat disanjung tinggi dan menjadi suatu kebanggaan bagi setiap anggota TLDM. Ianya merupakan lambang kemegahan, taat setia dan pengorbanan pasukan ini untuk raja dan negara. TLDM sentiasa memperjuang dan mempertahankan kedaulatan bangsa dan negara selaras dengan cogankata ‘SEDIA BERKORBAN’, satu warisan semangat perjuangan yang telah disemai oleh golongan pengasas sejak 1934.

TRADISI MENGARAK PANJI-PANJI
Panji-Panji merupakan satu penghormatan negara yang dianugerahkan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong kepada Kor-Kor Tentera Darat, Perkhidmatan Laut dan Udara. Sejarah telah mengakui bahawa pentingnya Panji-Panji dalam mengekalkan semangat, moral dan identiti sesuatu perkhidmatan dan pasukan. Penganugerahan Panji-Panji ini adalah sebagai mengenang jasa dan perkhidmatan cemerlang oleh perkhidmatan dan pasukan kepada negara.
Image

Penyerahan Panji-Panji oleh Pegawai Waren Panji-Panji kepada Pegawai Panji-Panji.

Image

Panji-panji diiringi oleh Pancaragam Pusat 3 perkhidmatan.

Perkataan Panji-panji berasal dari bendera yang digunakan oleh sesuatu ketumbukan Angkatan Tentera pada zaman dahulu. Tujuan bendera yang bewarna-warni dibawa ke medan perang adalah lambang kekuatan dan kuasa raja bagi satu pasukan/ketumbukan dan juga sebagai tanda kedudukan ketua atau panglima perang yang mengetuai sesuatu ketumbukan.

Sebelum tertubuhnya Angkatan Tentera Malaysia, keseluruhan anggota tentera terdiri daripada tentera upahan dari berbagai bangsa dan kaum yang diambil untuk berkhidmat. Panji-Panji amat penting bagi mereka untuk mengenali pasukan sendiri dan berfungsi sebagai penanda disamping merangsang dan membakar semangat semua peringkat anggota di dalam medan peperangan. Panji-Panji akan sentiasa dipertahankan sehingga ketitisan darah yang terakhir dan tiada perbuatan yang lebih hina kepada sesuatu pasukan tentera dari membiarkan Panji-Panji jatuh ke tangan musuh.
Image
Image

Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong diiringi Panglima Angkatan Tentera memeriksa kontijen

Pada awal Kurun Ke-19, istiadat yang asalnya penuh bersejarah dan diarak dalam masa peperangan telah diubah coraknya menjadi Istiadat Perbarisan Mengarak Panji-Panji yang disesuaikan pula dengan iringan muzik dan lagu. Lagu-lagu yang digubah khas untuk istiadat ini diberi nama ‘Troop’ dan dengan itu maka timbul pula rangkai kata ‘Trooping The Colours’ atau Istiadat Mengarak Panji-Panji yang bertujuan bagi menghidupkan semula tradisi ketenteraan zaman silam.

Panji-Panji yang diarak pada hari ini adalah Panji-Panji yang telah dianugerahkan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong kepada Rejimen Askar Melayu Diraja pada 23 Mac 1963, Panji-Panji Kor Armor Diraja pada 23 Mac 1963, Panji-Panji Rejimen Renjer Diraja pada 3 Mac 1992, Panji-Panji Tentera Laut Diraja Malaysia pada 12 Mac 1966 dan Panji-Panji Tentera Udara Diraja Malaysia pada 14 Mac 1967. Panji-Panji Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong berwarna kuning dan mempunyai Jata Negara ditengah-tengahnya dengan dikelilingi oleh dua karangan padi. Lambang dipenjuru kiri atas menunjukkan Perkhidmatan manakala Rakaman Penghormatan Tempur disulam di kiri kanan Lambang Diraja.

Istiadat Mengarak Panji-Panji pada hari ini dilaksanakan bersempena dengan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong selaku Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia.
Image

Angkatan 3 perkhidmatan berjalan lalu

Image

Pemeriksaan Kontijen Perbarisan oleh Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong

Image

Perbarisan yang disertai Pancaragam Pusat 3 perkhidmatan

Image

Laungan "DAULAT TUANKU"