Leftenan Madya Puteri Syazwani binti Megat Ahmad Shariman TLDM, seorang Pegawai Muda TLDM telah mencipta sejarah sebagai Pegawai Wanita TLDM yang pertama memiliki 2 kelayakan iaitu sebagai Ammunition Technician (AT) dan Explosive Ordnance Disposal (EOD). Ini membolehkan pegawai melakukan pemeriksaan fizikal, ujibukti kefungsian serta pemusnahan terhadap peluru dan bahan letupan yang sudah mencapai tamat jangka hayat.

Leftenan Madya Puteri Syazwani TLDM berkelayakan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sumber Manusia Pertahanan dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM). Kini beliau bertugas di Depot Peluru dan Bahan Letupan mengikut kepakaran yang beliau miliki.

Selain sibuk dengan tugas dan profesion, pegawai juga bergiat dalam bidang sukan, khususnya sukan lasak. Beliau aktif menyertai pertandingan duathlon (larian 5km, berbasikal 40 km dan larian 10 km) serta triathlon (berenang 1.5 km, berbasikal 40 km dan larian 10 km) di mana sukan ini semakin popular di negara ini. Lebih membanggakan beliau pernah menyertai acara renangan merentas Selat Dinding sejauh 10 km pada tahun 2019.

Pencapaian cemerlang Leftenan Madya Puteri Syazwani binti Megat Ahmad Shariman TLDM wajar dijadikan contoh serta inspirasi kepada warga Navy People agar TLDM cemerlang, gemilang dan terbilang.

Sumber : Markas Tentera Laut, Bahagian Kejuruteraan, RMN Chief Engineer Office
Artikel   : Laksda Datuk Ir. Ts. Mohd Shaiful Adli Chung
Foto      : Mk TL – Sumber Manusia, Mk TL dan Lt Dya Muhammad Fadzil bin Mashor TLDM