KUALA LUMPUR, 5 Nov - TLDM telah berjaya menganjurkan satu program larian dan riadah NAVY RUN 23 sebagai salah satu usaha bagi menyokong pembangunan sukan dalam TLDM. Program ini merupakan aktiviti julung kali dianjurkan oleh TLDM berlangsung di Dataran DBKL dan dijalankan secara bersama sewaktu program KL Car Free Morning (KLCFM) pada 5 Nov 2023.

Aktiviti riadah ini telah disertai oleh warga The Navy People, ATM, veteran, selebriti tempatan dan juga komuniti awam setempat di sekitar bandaraya Kuala Lumpur dengan jumlah penyertaan seramai 2,000 orang. Pelepasan peserta larian sejauh 7 KM pada hari ini telah disempurnakan oleh Asisten Ketua Staf Sumber Manusia, Laksamana Muda Baharudin bin Wan Md Nor merangkap Timbalan Pengerusi Lembaga Kawalan Sukan (LEKAS) TLDM bersama wakil jemputan DBKL.

Pelbagai aktiviti menarik turut disediakan seperti senamrobik, persembahan kumpulan pancaragam DBKL dan cabutan bertuah kepada peserta larian. Di samping itu, program ini juga berjaya memberi impak yang positif kepada perkhidmatan dalam mempromosikan TLDM kepada masyarakat awam setempat.

"Alhamdulillah saya ingin menzahirkan rasa syukur yang tidak terhingga kerana program riadah Navy Run 23 yang dirancang dapat dilaksanakan dengan jayanya.
Saya juga ingin merakamkan ucapan jutaan terima kasih kepada semua para peserta yang terlibat di atas sokongan dan sambutan yang sangat memberangsangkan bagi program yang julung kalinya dianjurkan oleh TLDM bersama KL Car Free Morning di Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Aktiviti seperti ini wajar untuk diteruskan dan sesuai untuk dijadikan sebagai program tahunan TLDM bagi memupuk gaya hidup sihat dan mempromosikan TLDM kepada masyarakat setempat," ujar beliau.