SHAH ALAM, 18 Nov - Seramai 16 orang Pegawai TLDM daripada Cawangan Bekalan & Urusetia telah dianugerahkan dengan gelaran Chartered Member Institute of Logistics and Transport (CMILT) di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC).

Pegawai TLDM yang dianugerahkan sebagai 'Chartered Member' sebelum ini telah mengikuti modul pembelajaran yang dikelolakan oleh CILT Malaysia ketika Kursus Lanjutan Pegawai Bekalan & Urusetia Siri 8/23 mulai 3 Julai hingga 4 Ogos 2023 di KD SULTAN IDRIS 1, Pangkalan TLDM Lumut. Modul pembelajaran yang dilaksanakan juga turut melibatkan sesi pembentangan kertas kerja oleh peserta kursus kepada panel jemputan daripada CILT Malaysia.

Konvokesyen pada tahun ini juga telah melibatkan seramai lebih kurang 400 orang graduan CILT Malaysia dan turut dihadiri seramai 200 orang tetamu jemputan daripada kalangan tenaga pengajar serta profesional sektor awam dan swasta yang terlibat bidang logistik dan pengangkutan.

Lebih membanggakan apabila Leftenan Komander Ts. Azizul bin Ab Malek TLDM telah dinobatkan sebagai pemenang 'Best Student (Accredited Program) CILTM Briefing & Project Paper Presentation Program' untuk institusi TLDM. Beliau menerima trofi serta sijil penghargaan daripada CILT Malaysia.

#NavyUpdate
#SediaBerkorban
#Kebanggaan